10 March 2009

Berdosa Besar Tidak Bersalawat Keatas Nabi

ISLAMUNTUKSEMUA

Tuan,

betulke kalau x berselawat semasa nama nabi disebut berdosa besar.??

ape hukum sebenar kalau kita berselawat setelah mendengar org menyebut nama nabi.

*********
kamin
Panel Feqh

wa'alaikumussalam

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan sdr ISLAMUNTUKSEMUA dengan kadar kemampuan yang ada, Insyaallah.

Bagi setiap umat Islam yang menunaikan solat wajib lima waktu setiap hari, paling minima mereka akan berselawat keatas Nabi 5 kali pada tashahud akhir atau pun 9 kali pada tashahud awal dan akhir. Menurut Dr Mustafa al-Bugha [et. al] bahawa selawat keatas Nabi saw didalam mazhab Syafie adalah merupakan rukun solat (yang ke 11) dan tidak sempurna solat jika salah satu rukunnya ditiadakan dengan sengaja [al-Fiqh al-manhaji, 1/140-142].

Walaubagaimanapun, ramai dikalangan ulama' mengatakan bahawa selawat keatas Nabi saw didalam solat adalah mustahab (digalakkan) dan bukannya wajib. Ini merupakan pandangan dari Mazhab Maliki dan Ahli Madinah, Abu Hanifah dan ahli Kufah, ahli Ra'yi dan Ahmad didalam salah satu dari 2 riwayatnya.[Dr Muhammad Naim Haani Saa'i, Mausu'ah masaail al-Jumhur fi al-Fiqh al-Islamiyah, Dar al-islam, 2005, 1/181].

Selawat diluar solat hukumnya adalah mustahab (digalakkan). Tidak berdosa mereka yang tidak berselawat asalkan mereka ini tidak ingkar dengan perintah Nabi saw. Malahan mereka ini merupakan manusia-manusia malas yang sangat bakhil. Dari Hussein ra. bin Ali ra. bin Abi Thalib bahawa Nabi saw bersabda :

البخيل الذي من ذكرت عنده فلم يصل عليَّ
"Orang yang bakhil adalah mereka yang di peringatkan aku disisinya akan tetapi tidak berselawat diatasKu" [Hadith Riwayat al-Tirmudzi #3546, dikelaskan sebagai sahih oleh al-Albani didalam Irwa' al-Ghaleel, #5].

Orang-orang yang tidak berselawat keatas Nabi saw lebih-lebih lagi apabila nama baginda disebut dianggap sebagai orang yang sombong. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra. bahawa Nabi saw bersabda :

رغِم أنفُ رجلٍ ذُكرتُ عنده فلم يصلِّ عليَّ
"Semoga digosokan hidungnya dengan debu bagi lelaki yang di peringatkan aku disisinya akan tetapi tidak berselawat diatasKu" [hadith Riwayat al-Tirmudzi #3545, dikelaskan sebagai sahih oleh al-albani didalam Irwa' al-Ghaleel, #6].

Nabi saw mensifatkan orang-orang seperti ini merupakan orang yang bakhil, sombong dan sudah tentunya rugi. Ganjaran pahala berselawat keatas Nabi saw sangat besar. Dari Abu Hurairah ra. bahawa Nabi saw bersabda :-

من صلى عليَّ واحدة صلى الله عليه بها عشراً
"Barangsiapa yang berselawat keatasKu 1 kali, Allah akan berselawat keatasnya 10 kali" [hadith sahih riwayat Muslim].

Malaikat pun diperintahkan berselawat keatas Nabi saw. Orang-orang yang mengaku beriman kepada Allah swt juga diperintahkan berselawat keatas Nabi saw sebagaimana firman Allah swt :-

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا
"Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. " [surah al-Ahzab : 56]

Umat Islam dianjurkan berselawat keatas Nabi didalam pelbagai tempat. Diantaranya yang dinyatakan oleh Syeikh Abdul Aziz bin Baaz rh. adalah :-

وبما أن الصلاة على النبي صلى الله عليه وسلم مشروعة في الصلوات في التشهد، ومشروعة في الخُطب والأدعية، والاستغفار، وبعد الأذان، وعند دخول المسجد، والخروج منه، وعند ذكره، وفي مواضع أخرى، فهي تتأكد عند كتابة اسمه في كتاب، أو مؤلف، أو رسالة، أو مقال أو نحو ذلك، لما تقدم من الأدلة، والمشروع أن تكتب كاملة تحقيقاً لما أمرنا الله تعالى به،
"Bahawa berselawat keatas Nabi saw merupakan perkara yang disyariatkan didalam tashahud dalam solat, didalam Khutbah, ucapan dan Do'a, istighfar, selepas Azan, ketika masuk masjid, dan ketika keluar darinya, berzikir dengan berselawat ditempat2 lain, memastikan buku-buku ditulis namanya, atau pengarang, atau risalah, artikel atau seperti itu, dan disyariatkan menulis penuh sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah" [Majmu' Fataawa bin Baaz, (cet Dar al-Watan, 1416H) 1/445].

Amalan berselawat keatas Nabi saw merupakan salah satu keadah bagi mendapatkan syafaat baginda pada hari Qiamat kelak! Dari Ibn Mas'ud ra., telah bersabda Nabi saw :-

أولى الناس بي يوم القيامة أكثرهم علي صلاة.
"Manusia yang terutama disisiku pada hari Kiamat adalah yang paling banyak berselawat keatasKu" [Hadith Riwayat Ibn Hibban, al-Tirmudzi dan beliau mengatakan bahawa hadith ini Hasan Gharib].

Kesimpulannya - Berselawat didalam tashahud akhir merupakan rukun solat bagi Mazhab Syafie. Syiekh bin Baaz juga meletakkannya sebagai rukun solat didalam fatwanya dan tidak sah solat tanpa berselawa keatas Nabi sawt. Walaubagaimanapun beberapa mazhab yang lain mengatakan bahawa hukumnya hanya mustahab (sunat). Berselawat diluar solat hukumnya mustahab (sunat). Bagi mereka yang malas untuk berselawat keatas baginda apabila namanya disebut, merupakan orang-orang yang bakhil dan sangat2lah rugi.

Sekian, wassalam

0 comments:

Post a Comment