07 March 2009

99 Nama Asma Al Husna

Assalamualaikum…

Ana ada sedikit kemusykilan…

Berkenaan dengan 99 asma’ul Husna… siapa yang mengumpulkan kesemua 99 nama Allah tersebut? Atau sememangnya pernah dinyatakan oleh Rasulullah sendiri melalui hadisnya? WA

****************
pendekar

وعليكم السلام و رحمة الله وبركاته
{ بسم الله الرحمن الرحيم }
(( رب إشرح لي صدري و يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي ))

Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.

Terima Kasih kepada Saudara VhoutenJr yang masih lagi tidak putus-putus menziarahi kami di al-Ahkam.online ini .

Tidak dapat dinafikan , pengetahuan berkenaan dengan Allah Ta’ala dan sifat-sifat-Nya merupakan satu kemestian ke atas setiap umat Islam , yang mana tanpa pengetahuan yang ampuh dan kukuh mengenainya , pastinya seseorang itu mudah terjebak ke dalam jurang kesesatan dan lubang kegelinciran . ( Wal ‘iyadzubilLahi Min Dzalik ) .

Allah Ta’ala berfirman :

وَلِلّهِ الأَسْمَاء الْحُسْنَى فَادْعُوهُ بِهَا وَذَرُواْ الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَآئِهِ سَيُجْزَوْنَ مَا كَانُواْ يَعْمَلُونَ

Ertinya : “Hanya milik Allah Asmaa-ul Husna , maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut Asmaa-ul husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam (menyebut) nama-nama-Nya . Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan “ ~ Surah al-A’araf : 180 .

Allah Ta’ala berfirman lagi di dalam ayat 110 , Surah al-Isra’ :

قُلِ ادْعُواْ اللّهَ أَوِ ادْعُواْ الرَّحْمَـنَ أَيًّا مَّا تَدْعُواْ فَلَهُ الأَسْمَاء الْحُسْنَى وَلاَ تَجْهَرْ بِصَلاَتِكَ وَلاَ تُخَافِتْ بِهَا وَابْتَغِ بَيْنَ ذَلِكَ سَبِيلاً

Ertinya : “Katakanlah : "Serulah Allah atau serulah Ar-Rahman ! . Dengan nama yang mana saja kamu seru, Dia mempunyai al asmaaul husna (nama-nama yang terbaik) dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam sembahyangmu dan janganlah pula merendahkannya dan carilah jalan tengah ( bersederhanalah ) di antara kedua itu ".

Allah Ta’ala berfirman lagi di dalam ayat 8 , Surah Toha :

اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ لَهُ الْأَسْمَاء الْحُسْنَى

Ertinya : “ Dialah Allah, tidak ada sama-sekali Tuhan ( yang berhak disembah ) melainkan Dia. Dia mempunyai al asmaaul husna ( nama-nama yang maha indah ), ".

Allah Ta’ala berfirman lagi di dalam ayat 24 , Surah al-Hasyr :

هُوَ اللَّهُ الْخَالِقُ الْبَارِئُ الْمُصَوِّرُ لَهُ الْأَسْمَاء الْحُسْنَى يُسَبِّحُ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Ertinya : “Dialah Allah Yang Menciptakan, Yang Mengadakan, Yang Membentuk Rupa, Yang Mempunyai Asmaaul Husna. Bertasbih kepada-Nya apa sahaja yang di langit dan bumi. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. ".

Sabda Baginda Rasulullah s.a.w :

حَدِيثُ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ : عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لِلَّهِ تِسْعَةٌ وَتِسْعُونَ اسْمًا مَنْ حَفِظَهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ

Ertinya : “ Diriwayatkan daripada Saidina Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Allah memiliki sembilan puluh sembilan nama. Sesiapa yang menghafalnya, nescaya dia akan masuk Syurga ….. “ ~ Hadis sahih diriwayatkan oleh Al-Imam al-Bukhari rh dan Al-Imam Muslim rh .

HURAIAN RINGKAS HADIST DI ATAS :

(( Allah memiliki sembilan puluh sembilan nama )) : Yang dikenali sebagai Asmaul Husna ( Nama-nama Allah Yang Maha Indah ) . Sabda Baginda Rasulullah s.a.w di atas tidaklah semestinya menunjukkan bahawa nama-nama Allah Ta’ala hanya berjumlah 99 sahaja . Seperti orang yang mengatakan : “ Saya mempunyai 3 buah kereta “ ~ Tidaklah menunjukkan dia hanya mempunyai 3 buah kereta sahaja . Mungkin juga dia mempunyai lebih daripada 3 buah kereta , Cuma dia tidak menyatakan hal itu ketika dia bercakap tadi .

Asmaul Husna tidaklah terbatas kepada 99 sahaja . Malahan di dalam beberapa ayat-ayat Al-Quranul Karim dan hadist –hadist sendiri terdapat lebih daripada jumlah 99 itu , seperti :

“ Allah “ , “ Ar-Rab “ ( Tuhan Yang Maha Mencipta dan Menjaga ) , “ Al-Hanan “ ( Tuhan Yang Maha Kasihan Belas ) , “ Al-Manan “ ( Tuhan Yang Paling Banyak Anugerah-Nya kepada makhluk ) , “ Al-Ahad “ ( Tuhan Yang Maha Esa ) , “ Al-Kafi “ ( Tuhan Yang Maha Memberi Kecukupan ) , “ Al-Mughist “ ( Tuhan Yang Maha Membantu ), “ Al-Muhit “ ( Tuhan Yang segala kekuasaan dan pengetahuan-Nya meliputi segala-segalanya ) , “ Al-Qarib “ ( Tuhan Yang Maha Hampir Pengetahuannya terhadap makhluk-Nya ) , “ Al-Qadim “ ( Tuhan yang sedia ada sejak azali ) , “ Al-Witr “ ( Tuhan Yang Maha Tunggal / Esa ) , “ Al-Fatir “ ( Tuhan Yang Maha Mencipta ) , “ Al-‘Allam “ ( Tuhan Yang Amat Lagi Sangat Tahu segala-galanya ) , “ Al-Akram “ ( Tuhan Yang Tersangat Pemurah Lagi Teramat Mulia sehingga mengatasi segala orang yang bersikap pemurah dan mulia ) , “ Al-Mudabbir “ ( Yang Maha Mengatur ) , “ Dzul-Ma’arij “ ( Yang Maha Menguasai dan Memiliki tangga-tangga para malaikat a.s , “ Dzut Towli Wa Dzul Fadhli “ ( Tuhan Yang Sentiasa Maha Mempunyai Berbagai Nikmat dan Kelebihan ) dan selainnya .

(( … Sesiapa yang menghafalnya … )) : [/color] Para Ulama’ rh berselisih pendapat mengenai apakah maksud sebenar bagi perkataan “ menghafalnya “ itu .

1 – Ada yang mengatakan ianya sekadar menghafal sebagai mana zahir hadist di atas .

2 – Ada pula yang mengatakan maksudnya ialah mengetahui maknanya dan beriman dengannya .

3 – Mencontohi akhlak-akhlak menerusi Asmaul Husna sedaya-upaya yang mampu .

4 – Maksudnya ialah : “ Sesiapa sahaja yang berjaya mengkhatamkan Al-Quranul Karim 30 juzuk “ . Ini kerana sesiapa sahaja yang telah mengkhatamkan ( menamatkan ) bacaan ayat-ayat suci Al-Quranul Karim itu bermakna dia telah menyebut semua nama-nama Allah Ta’ala .

Siapakah yang memberikan nama-nama Allah Ta’ala itu ? :

Sudah tentulah Allah Ta’ala sendiri yang memberikan nama-nama itu kepada Zat-Nya sendiri . Lantaran itulah majoriti ulama’ Ahlus Sunnah Wal Jama’ah mengatakan bahawa nama-nama Allah Ta’ala itu adalah TAUQIFI .

“ TAUQIFI “ ertinya sesuatu perkara yang boleh dikerjakan ( dan boleh diyakini ) hanya dengan adanya bukti-bukti yang jelas lagi kuat daripada Allah Ta’ala dan Baginda Rasulullah s.a.w . Lawan ( antonim ) bagi perkataan “ TAUQIFI “ ialah “ IJTIHADI “ .

Hal ini dijelaskan sendiri oleh Syeikh Ibrahim al-Liqani ( rh ) di dalam kitabnya yang amat tersohor ; “ Jauharah at-Tauhid “ :

واخْتِير أَنَّ اسْمَهُ تَوْقِفِيََّة

“ Dan pendapat yang terpilih ialah sesungguhnya nama-nama Allah Ta’ala itu adalah Tauqifiah “

كَذَََاالصِّفَاتُ فَاحْفَظِ السَّمعِيَّة

“ Begitulah juga dengan sifat-sifat Allah Ta’ala , maka hafallah nama-nama yang datang secara sam’ieyah itu ( hanya diketahui apabila adanya bukti-bukti yang kukuh drp Allah Ta’ala dan Rasul-Nya s.a.w ) “ .

Apatah lagi Baginda Rasulullah s.a.w sendiri pernah berdoa kepada Allah Ta’ala dengan doanya :

أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ

Ertinya : “ Ya Allah , aku bermohon kepada mu dengan setiap nama yang kau berikannya sendiri kepada Zat-Mu , ataupun yang telah pun Engkau ajarkan kepada salah seorang daripada makhluk-Mu , ataupun dengan setiap nama yang telah Engkau sebutkannya di dalam kitab yang telah Engkau turunkan ….. “ ~ Hadis diriwayatkan oleh Al-Imam Ahmad Bin Hanbal .

Jadi , yang jelas di sini sebagai mana pandangan majoriti Ahlus Sunnah Wal Jama’ah :

{ Semua nama Allah S.W.T itu bersumber daripada Zat-Nya sendiri ataupun melalui sabda – sabda Baginda Rasulullah s.a.w } .

Sekian . Semoga ada manfaatnya .
Wallahu A’alam Bis Sowab
Wahuwa Yahdi Ila Sabilir Rasyad .

RUJUKAN & SARANAN PEMBACAAN

1- AL-IKTIQAD WAL HIDAYAH ILA SABILIR RASYAD ‘ALA MAZHAB as-SALAF WA ASHAB al-HADIST
Oleh : Al-Imam al-‘Allamah al-Hafiz al-Baihaqi ( rh )
Semakan semula oleh : Al-‘Allamah as-Saiyid al-Jumaili ( ha )
Halaman : 33- 49
Terbitan : Darul Kitab al-‘Arabi , Beirut

2 – TUHFATUL MURID ‘ALA JAUHARAH at-TAUHID
Oleh : Al-Imam al-‘Allamah al-Baijuri ( rh )
Semakan semula dan komentar oleh : Al-‘Allamah Prof. Dr. ‘Ali Jum’ah Muhammad asy-Syafi’e ( ha )
Halaman : 154 - 155
Terbitan : Darus Salam , Kaherah

3 – AL-MUKTASAR al-MUFID FI SYARH JAUHARAH at-TAUHID
Oleh : Al-‘Allamah Syeikh Dr. Nuh ‘Ali Salman al-Qudhoh ( ha )
[ Bekas Mufti Angkatan Tentera Jordan ]
Halaman : 85 - 86
Terbitan : Dar ar-Radzi , ‘Amman

4 – HURAIAN JAUHARAH at-TAUHID ( BHG KETUHANAN )
Oleh : Al-Fadhil Syeikh Haji Ahmad Tirmidzi Taha [ M.A An American Open University In Cairo ]
& Al-Fadhil Ustaz Haji Hasanuldin Mohamad [ M.A A.O.U In Cairo & Al-Azhar asy-Syarif ]
Jilid 1 , Halaman : 209 - 219
Terbitan : Persekutuan Melayu Rep. Arab Mesir ( PMRAM )

5 – AHSANUL KALAM FIL FATAWA WAL AHKAM
Oleh : Al-‘Allamah Syeikh ‘Atiah Saqr ( ha )
[ Bekas Pengerusi Lujnah Fatwa AL-Azhar ]
Jilid 5 , Vol : 21, ms 191 - 192
Darul Ghad al-‘Arabi , Kaherah

و إلى اللقاء إن شاء الله تعالى
والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته

0 comments:

Post a Comment