23 March 2009

membaca al quran kepada si mati

leemadnoor

assalamualaikum,

maaf kerana saya banyak bertanya.saya ada dua soalan kepada ahli panel al ahkam.net.

pertama:adakah dibolehkan membaca al quran kepada orang mati.ini kerana ibn taimiah sendiri mengatakan bahawa sampai pahala membaca al quran kepada si mati.

kedua:berkaitan sufi.ada pendapat dari kalangan ahli sufi yang mengatakan bahawa ibn taimiah dan ibn qayyim juga adalah sufi.begitu juga empat imam mazhab yang lain.adakah ini benar?

mohon pencerahan.sekian terima kasih.

*****************
kamin
Panel Feqh

wa'alaikumussalam

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan ini dengan kadar kemampuan yang ada, Insya-Allah.

1. Berkata Syeikh Jibrin didalam fatwanya : "terdapat khilaf diantara ulama' mengenai mendedikasikan amalan kepada si-mati, dan terdapat juga dikalangan mereka yang melarang. Termasukkan amalan seperti membaca al-Quran, sedekah, solat dan puasa sebagaimana zahir firman Allah swt :-

وَأَنْ لَيْسَ لِلْإِنْسَانِ إِلَّا مَا سَعَى
"Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya; " [al-Najm : 39]

Terdapat dikalangan ulama' membenarkannya, sebagaimana kata al-Hijaawii didalam Zaad al-Ma'ad : apabila dilakukan ganjaran kepada seseorang Islam atau si-mati, maka ia mendapat munafaat itu. Dan inilah pandangan kebanyakkan ulama', dan pandangan yang dipilih oleh Ibn Qayyim rh."

Memang benar Ibn Taimiyyah rh pernah berkata :

إن الميت ينتفع بقراءة القرآن كما ينتفع بالعبادات المالية من الصدقة ونحوها
"Sesungguhnya si-mati mendapat munafaat dari bacaan al-Quran sebagaimana dia mendapat munafaat dari ibadat harta, seperti sedekah dan sebagainya"

Ulama tidak khilaf diatas amalan mendo'akan si-mati. Seseorang Islam digalakkan berdo'a agar Allah mengampuni dan merahmati si-mati. Bersandarkan dalil ini, Imam al-Nawawi rh mengatakan : "jika seseorang itu membaca al-Quran, kemudian dijadikan hasil ganjaran/pahala bacaan kepadanya (si-mati), maka dia berdo'a agar pahala yang dia perolehi (sebab membaca al-Quran) dihadiahkan kepada si-mati, maka ia memberi munafaat kepada si-mati" (Raudhah al-Thaalibiin, 5/191).

Dr Ahmad Syurbashi mengatakan bahawa adalah lebih baik selepas membaca al-Quran seseorang itu berdoa :"Ya Allah jadikanlah ganjaran apa yang kubaca ini kepada si-fulan". Begitulah dijadikan pembacaan al-Quran didalam bentuk do'a, maka disampaikan kepada si-mati dengan ittifaq ulama' (Yasalunaka fi al-Din wa al-Hayah, 5/123).

Dr Syurbashi mengatakan bahawa isu ini adalah khilaf (bukan bid'ah), dimana Mazhab Maliki dan Syafie mengatakan tidak sampai bacaa tersebut kepada si-mati (pandangan asal mazhab), dan berkata Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad bin Hanbal - sampai bacaan al-Quran kepada si-mati.

2. Memang banyak artikel pro dan kontra mengenai apakah Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim merupakan ahli Sufi atau Tasauf. Apa yang jelas, kedua-dua ulama' ini pernah menulis mengenai Tasauf dan Sufisme.

Ibn Taimiyyah didalam Jilid 10 dan 11 buku Majmu' Fataawanya membicarakan persoalan suluk dan Tasauf. Misalannya didalam Jilid 10 beliau menjelaskan mengenai cinta kepada Allah, Tawakkal kepada Allah, Ikhlas didalam agama, bersyukur kepadanya, bersabar diatas hukumannya, takut, berharap dan sebagainya. Beliau juga membicarakan mengenai penyakit hati; seperti bakhil dan hasad dengki. Beliau juga membicarakan tentang tarikat salafiyah yang sebenar, tanpa memasuk unsur-unsur mistik dan pendapat2 yang ganjil atau ghuluw. Beliau dengan jelas menyelar sufi-sufi yang melampau didalam buku-bukunya.

Ibn Qayyim rh telah menulis sebuah buku bertajuk Madaarij Saalikeen yang merupakan syarah atau susunan buku Syiekh Abdullah al-Ansari yang bertajuk Manazil al-Sa’irin ila al-Haqq. Buku ini juga membicarakan mengenai ilmu akhlak dan Tasauf yang tidak lari dari al-Quran dan hadith.

Tasauf bagi ulama' ini adalah ilmu yang membuang kelalaian manusia dari mengingati Allah. Kedua2 tokoh ini amat menghormati ulama', malah ada dikalangan para sufi yang ghuluw dikatakan mereka sebagai ulama' yang tersilap didalam ijtihad mereka. Tasauf kepada mereka ini bebas dari unsur2 spiritual yang luar biasa dan melampau. Ini merupakan ilmu-ilmu yang membentuk seorang Islam yang bertaqwa kepada Allah swt dan ittiba' kepada sunnah Nabi saw. WA.

Sekian, wassalam

0 comments:

Post a Comment