07 March 2009

Adab Ziarah Kubur

Assalamualaikum..nak tanya beberapa soalan mengenai ziarah ke pusara/kubur.

1. Apa tertib kita apabila menziarah kubur?
2. Bilakah masa yang paling baik bagi kita umat Islam untuk menziarah kubur? Hari apa? pagi/petang/malam?
3. Dalam Islam, ada tak diterangkan tentang menziarah kubur waktu malam? hadis ke ayat Quran ke...
4. Boleh atau tidak kita bawa orang bukan Islam ziarah kubur orang Islam?

Harap mendapat jawapan.Terima kasih in advance.

******************
g@y@t
Salam

Terima kasih dengan soalan ini. Insya Allah kami akan menjawab persoalan saudara sebaik mungkin.

Quote:
Apa tertib kita apabila menziarah kubur?

1) Tujuan dan niat

Hendaklah menziarahi kuburan utk mengingatkan kita kepada kematian dan juga perkara yg berlaku di alam barzakh dan hari kemudian nanti.

Dalil: Dari Buraidah bin al-Husayb ra, Rasulullah saw bersabda, “Aku pernah menghalang kamu dari menziarahi kubur. Sekrang, ziarahilah(kubur), kerana ia akan mengingatkan kamu akan hari kemudian….”[Hadis riwayat Muslim, an-Nasai dan lain-lain]

2) Menanggalkan kasut/sandal sebelum memasuki kawasan perkuburan.

Dalil:Dari Basyir bin Handzalah ra, bahawa Nabi menanggalkan sandalnya bila berada di kuburan." [Hadis riwayat an-Nasa'iy, Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah]

Terdapat beberapa pendapat berkaitan perkara ini iaitu:
Ibn Hajar: makruh hukumnya memakai sandal/kasut atas kuburan.
Ibn Hazm al-Andalusia: hanya sandal atau terompah yg dilarang, jika kasut tidak apa-apa.
Imam at-Thahawi: yang rajih ialah jika kuburan itu bersih dan berpasir barulah ditanggalkan kasut atau sandal tujuan menghormati mayat, tapi jika kuburan itu kotor atau berduri, maka tidak perlu memecat alas kaki.

3) Memasuki tanah perkuburan dengan tenang dan senyap.

Dalil: Dari Al-Bara' bin Azib r.a. katanya: “Kami telah keluar bersama-sama Nabi mengiringi jenazah seorang lelaki dari kaum Ansar, lalu kami sampai ke kuburnya yang disediakan Rasulullah s.a.w. pun duduk lalu kami duduk di sekelilingnya dengan keadaan tidak bergerak dan membisu; manakala Baginda s.a.w. pula mencucuk- cucuk tanah dengan seranting kayu yang ada di tangannya…”[Imam Ahmad, Abu Daud, Al-Nasa'i dan Ibn Majah] Disahihkan oleh Albani.

4) Memberi salam dan mendoakan ahli kubur.

Dalil: Dari Aisyah r.a., dia berkata: "Wahai Rasulullah s.a.w., bagaimana aku mengucapkan ketika menziarahi kubur?" Baginda bersabda, ertinya: Salam sejahtera ke atas penghuni kubur dari kaum mukminin dan muslimin. Semoga Allah mengasihani orang-orang yang pergi lebih dahulu dan yang pergi kemudian dari kamu dan kami. Bila Allah mengkehendaki, kami akan menyusulmu." (HR Muslim)

5) Mengadap kiblat ketika mendoakan ahli kubur.


Quote:
Bilakah masa yang paling baik bagi kita umat Islam untuk menziarah kubur? Hari apa? pagi/petang/malam? Dalam Islam, ada tak diterangkan tentang menziarah kubur waktu malam? hadis ke ayat Quran ke...

Menetapkan hari2 dan masa2 tertentu untuk menziarahi kubur ini bukanlah amalan dari sunnah. Sebagai contoh mengkhususkan hari menziarah kubur pada hari Juma'at: Semua hadis-hadis mengenai fadhilat (keutamaan) menziarahi kubur pada hari Juma'at adalah samada lemah (dha'eef), batil atau palsu (maudhu') dan tidak boleh diamalkan. Contoh yang lain ialah:

- mengkhususkan hari menziarah pada hari Isnin dan khamis,
- mengkhususkan hari menziarah pada hari raya, Ashura dan malam nisfu syaaban dlln

Tidak terdapat sebarang dalil yang sahih maupun pendapat ulama’ mengenai menziarah kubur pada waktu malam ini. Oleh itu kita beralih kepada hadis:

“Barangsiapa yang mengada2kan dalam agama kami ini yang bukan darinya maka ia adalah tertolak.”

Quote:
Boleh atau tidak kita bawa orang bukan Islam ziarah kubur orang Islam?

Tidaklah menjadi kesalahan selagi dia menjaga adab2 menziarah kubur.

Tambahan

Terdapat beberapa perkara khilaf dalam isu menziarahi kubur ini. Di antaranya:

Membaca al-Quran dikuburan

Isu membaca al-Qur'an di sisi mayat dan atas kubur ini sudah dibahaskan dalam kitab2 klasik (Hanafi-Maliki-Syafi'iy-Hanbali), maknanya isu ini ujud sudah lama yakni suatu kecenderungan umat Islam untuk membantu mayat dengan cara membaca al-Qur'an di sisi mayat atau dikuburannya. Kita meletakkan isu ini sebagai khilafiah kerana madzhab Hanbali dan Syafi'iy mengharuskan, manakala makruh di sisi madzhab Malik dan Hanafi. Imam dan Syaikhul Islam Ibn Taymiyah juga tidak menegahnya, malah muridnya alHafeedz Ibn Qayyim juga berpendapat harus tapi amalan itu bukanlah suatu amalan yg kuat disisi syara' dan bukanlah amalan salaf assoleh.

Menabur bunga di pusara

Amalan ini merupakan khilaf . Aliran Salafiyya seperti Syaikh al-Uthaymeen, almarhum Syaykh Ben Baz, Syaikh Albani berpendirian keras dgn menegahnya atas alasan bid'ah dan diciplak dari amalan Yahudi-Kristian. Pendapat ini disandarkan kepada al-Kattabidan Syaikh Ahmed Syakir. Syaikh Syakir berpendapat amalan menabur bunga dan meletak kalungan bunga ini diambil dari amalan masyarakat Kristian Koptic di Mesir.

Adapun Lajnah Fatwa alAzhar (pengerusi: Syaikh Atiyah Saqr) berpendapat setelah ditimbang dari dua pendapat yg harus dan haram, dimenangkan pendapat yg mengharuskan kerana terdapat asal dari as-Sunnah di mana biasa Nabi saw meletak pelapah tamar dan ranting yg masih hidup di atas pusara (Bukhari-Muslim). Jika bebunga hidup digunakan mengganti pelepah tamar dan ranting kayu, maka disitulah keharusannya. Tetapi jika karangan bunga itu dari jenis yg mahal atau menyerupai acara kaum bukan Islam, maka ia ditegah. WA

Sekian

Wassalam

Rujukan

Funerals-Regulations&Exhortations By Sheikh Muhammad al-Jibaly

Fiqh us-Sunnah – Funerals and Dzikr By Sheikh Sayyid Sabiq

Bid’ah Menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah Oleh Rasul Dahr

Minhaj al-Muslim Oleh Abu Bakr Jabir al-Jaza’iy

Ettiquettes of a Muslim on Friday By Abu Ibrahim Majid Ali Hasan

www.islamonline.com

1 comments:

chubbz said...

assalamualaikum. Alhamdulillah ada lagi blog yg sedia menjawab kemuskilan dalam Islam~ Semoga Allah Memberikan Rahmat Kepada Anda~ TQ~ N U've been linked~ tq~ visit me @ www.inoeuwantme.blogspot.com

Post a Comment