08 March 2009

Hukum Kubur Yang Digali Semula

Assalamualaikum..
Hukum menggali kubur orang yg telah mati adalh haram.Sila ustaz terangkan apakah sebab2 yang dibolehkan untuk menggali kubur itu semula.Sekian,wassalam.


************
kamin
Panel Feqh

wa'alaikumussalam.

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab persoalan sdri faiqah dengan kadar kemampuan yang ada, Insyaallah.

Benar apa yang dikatakan oleh sdr faiqah bahawa pada prinsipnya haram hukumnya menggali semula kubur jenazah yang telah dikebumikan.
sebagaimana yang telah dijelaskan didalam hadith 'Aisyah ra yang berkata Nabi saw bersabda :

كسر عظم الميت ككسره حيا
"Mematahkan tulang yang telah mati adalah seperti mematahkan tulangnya semasa hidup" - [Hadith riwayat Abu Daud #3207].

Syiekh Khalid ibn Ali al-Musyaiqih mengatakan bahawa hadith diatas menunjukkan bahawa seorang Islam mempunyai harga diri, samada ia hidup ataupun telah mati. Menurut beliau tidak dibenarkan menggali semua kubur melainkan mempunyai alasan-alasan yang tertentu, dan biasanya perkara-perkara seperti ini hendaklah dirujuk kepada hakim syariah yang akan memberi keputusan keatas alasan yang diberikan.

Dr Ahmad Al-Syarbaasi, bekas Professor Jabatan Aqidah dan Falsafah di Universiti Al-Azhar berkata kubur dimana seorang Islam dikebumikan adalah menjadi miliknya, maka tidaklah islamik untuk menggalinya kembali melainkan sebab yang munasabah. Jumhur ulama' membenarkan kubur digali semula akan tetapi terdapat khilaf dikalangan mereka sebab yang membolehkan kubur tersebut digali semula. Syiekh Nasyiruddin Al-Albani (Ahkam Al-Janaaiz, ms 203) menyatakan bahawa dibolehkan mengeluarkan mayat dari dalam kubur untuk satu tujuan yang baik (ويجوز إخراج الميت من القبر لغرض صحيح). Secara umumnya ulama' membenarkan mayat dikeluarkan dari kuburnya dengan 2 kepentingan utama :-

a. Menyempurnakan dan menyelamatkan mayat tersebut
b. Tempat digunakan untuk kepentingan umum.

Diantara perkara yang bolehkan kubur tersebut digali semua, contohnya ialah :-

1. Mayat yang dikebumikan boleh sempat dimandikan, maka dibenarkan mengeluarkannya bagi tujuan memandikan dan mengkafankan mayat. Dari Jabir bin Abdullah ra :

أتي رسول الله صلى الله عليه وسلم عبد الله بن أبي بعد ما أدخل حفرته ،فأمر به فأخرج ،فوضعه على ركبتيه ،ونفث عليه من ريقه ،وألبسه قميصه ( قال جابر: وصلى عليه )
"Rasulullah saw telah mendatangi kubur Abdullah bin Ubai yang telah dimasukkan kedalam liang lahat, dan beliau saw memerintahkan untuk mengeluarkannya kembali dan diletakkan diaatas kedua-dua lutut baginda, kemudian baginda meniupkan dan mengenai pakaian kepadanya." Jabir berkata "Dan mendo'akannya". [Diriwayatkan oleh Al-Bukhaari, Imam Musilim Al-Nassa'i dan juga Ibn Al-Jarud.

2. Dr Ahmad Al-Syarbaasi menyatakan dibenarkan untuk memindahkannya mayat kepada kubur yang lain jika terdapat kekhuatiran bahawa kemungkinan binatang buas akan merosokkan mayat atau mungkin ia akan dihanyutkan oleh banjir, dengan syarat mayat tersebut tidak dirosakkan.

3. Mayat yang ditanam di sebidang tanah dimana tuan tanah tidak membenarkan jenazah ditanam disana (tidak mendapat keizinan tuan tanah)..

4. Apabila jenazah ditanam ditempat yang tidak dihormati, seperti ditanam di kubur orang bukan Islam atau ditempat pembuangan sampah.

5. Kubur di gali diatas sebab-sebab perundangan.

6. Keperluan memeriksa jasad mayat bagi mewujudkan hak, iaitu ia dapat mengembalikan nama baik si-mati.

7. Al-Hafiz Al-Imam Al-Nawawi didalam kitab Majmu' menyebut : (يجوز نبش القبر إذا بلي وصار تراباً ، وحينئذ يجوز دفن غيره فيه) :"Boleh menggali kubur jika keadaan sudah lusuh dan sudah menjadi debu, maka bolehlah mengkebumikan jenazah lain didalamnya.". Maksudnya kubur yang yang usang dan tinggal debu dibolehkan diguna semula sebagai kubur jenazah yang lain.

8. Al-Hafiz Al-Imam Al-Nawawi juga menyebut bahawa selain dari dibuat kubur, ia juga boleh digunakan untuk bercucuk tanam, melakukan binaan (construction), dan semuanya akan bermunafaatkan dan keadaan ini mendapat persetujuan para sahabat. Ini semua dibolehkan dengan syarat ia tidak memberi kesan kepada mayat, tulang-tulang dan lain-lainnya (ويجوز زرع تلك الأرض ، وبناؤها ، وسائر وجوه الانتفاع ، والتصرف فيها باتفاق الأصحاب. وهذا كله إذا لم يبق للميت أثر من عظم وغيره). Pandangan ini dipersetujui oleh mahzab Syafie, Hanafi dan Hanbali. Mazhab Maliki membenarkan kubur yang usang ini digunakan untuk mengkebumikan orang mati sahaja, seperti point no:7.WA.

wassalam
-----------
Rujukan :

1. Dr Ahmad Al-Syarbaasi .Yasaluunaka fi al-diin wa al-hayaah - Jilid 5. cetakan baru. Beirut, ms 124.

2. Syiekh Mohammad Nasyiruddin Al-Albani. Ahkam Al-Janaa'izm wa bida'uha.. cetakan baru. Riyad : Maktab Al-Ma'aarif, 1992. ms 203.

3. Markas Fatawa Dr Abdullah Al-Faqih. جواز الانتفاع بالمقبرة المندرسة بناءً وزراعة . url : http://www.islamweb.net/php/php_arabic/ShowFatwa.php?lang=A&Id=19135&Option=FatwaId

0 comments:

Post a Comment