07 March 2009

Doa Melalui Tawasul

Salam :confused:

Saya ada persoalan tentang Tawassul. Bolehkan seseorang itu bertawassul dengan Nabi atau orang yang soleh. sekian.
Wassalam :)

**************
pendekar

وعليكم السلام و رحمة الله وبركاته
{ بسم الله الرحمن الرحيم }
(( رب إشرح لي صدري و يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي ))

Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.

Terima Kasih kepada Saudara yang menggunakan nick “ gilos “ di atas soalan ini .

Sebenarnya soalan ini adalah salah-satu soalan yang agak rumit untuk dihuraikan kerana ia sendiri menjadi MASALAH KONTROVERSI dan KHILAFIAH di kalangan para ulama’ dahulu sehinggalah kini .

Untuk menjawabnya secara detail dengan setiap dalil , cara pengambilan dan memutuskan hukum serta kepelbagaian pandangan mengenai hal ini sudah tentulah tidak mampu bagi saya dan ianya tidak sesuai dengan konsep sesebuah halaman web di internet yang memaparkan maklumat yang cepat – ringkas – padat .

Namun , dengan segala kelemahan ini saya akan cuba juga menghuraikannya agar setiap orang Islam tahu akan permasalahan ini walaupun tidaklah secara begitu mendalam . Sebab mendapat gambaran bagi sesuatu maklumat itu lebih baik drp tidak tahu langsung mengenainya .

Harapan saya agar saudara-saudari yang mengikuti jawapan ini membacanya satu persatu agar lebih mudah mendapat kefahaman yang jelas dan agar tidak salah faham sebab sbg mana kata Almarhum Syeikh Muhammad Bin Soleh al-‘Utsaimin : “ Salah faham itu LEBIH MERBAHAYA daripada tidak faham langsung “ .

Dipersilakan saudara-saudari mengikuti jawapan mengenai masalah ini :


Pertama : APAKAH ERTINYA TAWASSUL ? :

{ a } – Menurut Pengertian Bahasa Arab :

التوسل من وسلت إلى ربي وسيلة: عملتُ عملاً أتقرب به إليه. وقال الجوهري في مختار الصحاح: الوسيلة ما يتقرب به إلى الغير والجمع: الوُسُل والوسائل.

Ertinya : TAWASSUL ( menurut pengertian asal B. Arab ) di ambil daripada perkataan yang membawa maksud : “ Aku berTAWASSUL kepada Tuhanku dengan satu WASILAH ( cara ) iaitu aku menDEKATkan diriku kpd Allah dengan cara melakukan amalan “ .

Kata al-Jawhari ( rh ) ~ pengarang Kamu as-Sihah ~ : “ Al-Wasilah itu ialah apa yang dijadikan dia alat untuk mendekatkan diri seseorang dengan orang selainnya “ .

“ Al-Wasilah “ ( mufrad / katanama tunggal / singular ) dan jamaknya ( plural ) ialah “ al-WUSUL “ dan “ al-WASAIL “ .

KESIMPULAN : Tawassul menurut pengertian B. Arab ialah : PERANTARAAN .

{ b } – Menurut Pengertian Syariat Islam ( Istilah ) :

التوسل هو التقرب كأن يجعل الإنسان عمله الصالح أو دعاء الصالحين له واسطة أو وسيلة إلى الله تعالى رجاء القبول‏

Tawassul ialah mendekatkan diri ( kepada Allah ) dengan cara seseorang itu menjadikan amalan baiknya ataupun doa orang-orang yang soleh untuk dirinya itu sebagai PERANTARAAN ataupun SARANA menuju kepada Allah Ta'ala dengan harapan amalannya itu diterima ( oleh Allah Ta'ala ) .

KESIMPULANNYA : Tawassul ialah satu kaifiat ( cara ) berdoa seperti seseorang itu berdoa : “ Ya Allah Ya Tuhanku ! , aku bermohon kepada-Mu DENGAN segala amal kebajikan yang telahku lakukan “ .

Ataupun seperti seseorang itu berkata kepada seorang yang soleh : “ Pak Haji , saya mintak tolong pak haji doakan saya ya , dan saya pun tak lupa juga untuk berdoa kepada Allah Ta’ala “ .

Jadi , tidak ada perbezaan yang ketara di antara Tawassul menurut kedua-dua definasi ( pengertian ) di atas kerana sama-sama membawa makna : PERANTARAAN , SARANA & WASILAH ataupun ia adalah MEANS , MEDIUM , INSTRUMENT , TOOL , WAY & CHANNEL .

Allah Ta’ala berfirman di dalam al-Quranul Karim mengenai prinsip TAWASSUL ini iaitu :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ اتَّقُواْ اللّهَ وَابْتَغُواْ إِلَيهِ الْوَسِيلَةَ وَجَاهِدُواْ فِي سَبِيلِهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Ertinya : “ Wahai orang-orang yang beriman bertaqwalah kamu kepada Allah dan carilah oleh kamu sekalian WASILAH kepada-Nya . Dan berjihadlah kamu pada jalan-Nya , mudah-mudahan kamu beroleh kejayaan “ .
~ Ayat 35 , Surah al-Maidah

### Al-Imam Jalaluddin as-Suyuthi rh dan al-Imam Jalaluddin al-Mahilli rh memberikan tafsiran terhadap ayat ini dengan kata mereka :

( يا أيها الذين آمنوا اتقوا الله) خافوا عقابه بأن تطيعوه (وابتغوا) اطلبوا (إليه الوسيلة) ما يقربكم إليه من طاعته (وجاهدوا في سبيله) لإعلاء دينه (لعلكم تفلحون) تفوزون

Ertinya : ( Wahai orang-orang yang beriman bertaqwalah kamu kepada Allah ) yakni takutilah kamu akan azab-Nya dengan mentaati-Nya , ( dan carilah ) yakni tuntutlah ( WASILAH kepada-Nya ) yakni apa yang boleh mendekatkan kamu kepada-Nya secara mentaati-Nya , ( dan berjihadlah kamu pada jalan-Nya ) yakni untuk meninggikan agama-Nya , ( mudah-mudahan kamu beroleh kejayaan ) yakni kami beroleh kemenangan .

Kedua : PERBEZAAN DI ANTARA TAWASSUL DENGAN ISTIGHASAH ? :

Di dalam bahasa Arab terdapat juga kalimah “ AL-ISTIGHATSAH “ { الإستغاثة }contohnya perkataan : “ Al-Istighatsah Bil Amwat Awil Maqburin “ { الإستغاثة بالأموات أو المقبورين }
: Ertinya di dalam B. Melayu : “ Meminta pertolongan ( memohon hajat ) daripada mereka yang telah meninggal dunia ataupun daripada para penghuni kubur “ .

Selain kalimah “ Al-Istighatsah “ digunakan juga perkataan “ Al-Isti”anah “ { الإستعانة }
yang juga bermaksud : “ MEMOHON PERTOLONGAN / BANTUAN “ .

Di dalam pengertian asalnya “ Al-Istighatsah “ diambil drp perkataan “ al-Ghaust “ { الغوث }
yang bermakna :

الغوث : الإعانة و النصرة , و يقال في شدة تنزل بالمرء فيسأل العون على كشفها : وا أغوثاه

Ertinya : “ Al-Ghaust bermakna bantuan dan kejayaan . Ianya diucapkan tatkala datangnya kesusahan yang amat sangat ke atas diri seseorang itu lalu dia pun memohon bantuan untuk melepaskannya daripada kesusahan itu dengan berkata : “ Hoiiiii! Tolong ..tolong … “ .

Kedua-dua perkataan ini ( Al-Istighatsah dan Tawassul ) KADANG-KALA difahami secara salah ( salah faham ) oleh segolongan masyarakat Islam sehingga mereka mengatakan bahawa Tawassul dan Memohon pertolongan daripada para penghuni kubur adalah sama sahaja , walhal kedua-dua itu tidalah sama dan tidaklah pula serupa !!! .

Ber” ISTIGHATSAH “ ataupun ber “ ISTI’ANAH “ dengan menyeru para penguni kubur seperti menyeru “ Wahai Syeikh Abdul Qadir Jailani , tolonglah daku ! “ , “ Wahai Panglima Hitam , Wahai Tok Tepok , Tolonglah aku , ajarlah aku gerakan-gerakan Silat yang luar biasa ! “ ~ INI SATU PERBUATAN YANG TIDAK SYAK LAGI SYIRIK DAN KUFUR ! .

Bukankah Allah Ta’ala telah mengajar kita dengan firman-firman-Nya :

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

Ertinya : “ Hanya engkaulah sahaja yang kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami mohon pertolongan “ ~ Surah al-Fatihah, ayat 5 .

وَلاَ تَدْعُ مِن دُونِ اللّهِ مَا لاَ يَنفَعُكَ وَلاَ يَضُرُّكَ فَإِن فَعَلْتَ فَإِنَّكَ إِذًا مِّنَ الظَّالِمِينَ

Ertinya : “ Dan janganlah kamu seru selain daripada Allah , apa-apa yang tidak dapat memberikan mudharat dan manfaat kepada dirimu . Maka jika kamu berbuat demikian , pastilah engkau ketika itu menjadi dari kalangan mereka yang zalim “ ~ Surah Yunus , ayat 106 .

Bukankah Baginda Rasulullah s.a.w juga mengajar kita :

إذا سألت فاسأل الله وإذا استعنت فاستعن بالله

Ertinya : “ Jika engkau berhajat maka serulah Allah , dan jika engkau mahu meminta pertolongan maka mohonlah daripada Allah “ ~ Hadist hasan sahih diriwayatkan oleh al-Imam at-Tirmidzi rh di dalam sunannya ( Hadist 2516 ) .

Orang-orang yang bermohon hajat dan menyeru para penghuni kubur ( sama ada golongan solihin , para pendekar-hulubalang dan sebagainya ) mereka menyeru kerana mereka yakin bahawa semua mayat itu ada KUASA yang boleh mendatangkan manfaat dan mudharat.

Atau dengan kata lain : Mereka itu memohon bantuan ( pertolongan ghaib ) daripada para penghuni kubur .

Walhal orang-orang Islam yang berTAWASSUL pula tidak memohon bantuan daripada para penghuni kubur bahkan mereka hanyalah menyembah , menyeru dan memohon bantuan hanya daripada Allah Ta’ala , Cuma mereka menggunakan perantaraan di dalam berdoa ( dengan beberapa cara yang akan saya huraikan di bawah ) ! .

Perbezaaan asasi inilah mestilah difahami dengan sebaiknya agar tidak bermudah-mudah menghukum segolongan umat Islam itu sebagai golongan yang telah melakukan kesyirikan , amalan murtad ataupun perbuatan kufur !!! ~ Wal’iyadzubiLahi Min Dzalik .

Nanti akan saya terangkan lagi perbezaan di antara kedua-dua hal ini di ruangan BEBERAPA PERHATIAN PENTING & KESIMPULAN di bawah ini , Insya-Allah .

Ketiga : TAWASSUL YANG DISEPAKATI :

Terdapat beberapa bentuk doa dengan menggunakan pendekatan / cara bertawassul ini yang dibenarkan secara sepakat oleh semua ulama’ Ahlus Sunnah Wal Jama’ah , bentuk-betuk doa bertawassul itu ialah :

{ 1 } – Bertawassul dengan menggunakan nama-nama Yang Maha Agung ( Asmaul Husna ) bagi Allah Ta’ala ataupun dengan menggunakan sifat-sifat-Nya Yang Maha Tinggi .

Contohnya : Seseorang itu berdoa : “ Ya Allah Ya Tuhanku , aku bermohon kepada-Mu dengan setiap nama yang menjadi hak-milik-MU , dengan setiap nama yang Kau namakan Zat-Mu sendiri dengan nama itu , dengan setiap nama-Mu yang Kau turunkan di dalam Kitab-Mu …………… “ .

Contohnya lagi : Seseorang itu berdoa : “ Ya Allah Ya Tuhanku Yang Maha Gagah Lagi Maha Perkasa , Yang tiada tara-Nya dan tiada bandingan-Nya , Wahai Tuhan Yang Maha Kuat , tunjukkanlah kekuatan dan qudrat-Mu Yang Maha Gagah itu dengan menghancurkan tentera-tentera kuffar yang cuba menghancurkan umat Nabi-Mu di Iraq “

Doa dengan bertawassul bentuk pertama inilah yang ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w sebagai mana diriwayatkan di dalam hadist-hadist yang sahih .

{ 2 } – Bertawassul dengan amalan-amalan soleh yang pernah dilakukan :

Contohnya : Seseorang itu berdoa kepada Allah dengan doanya : “ Ya Allah Ya Tuhanku , aku bermohon kepada-Mu dengan segala amalan soleh yang pernah aku kerjakan agar diperkenankan hajatku ini untuk berjaya di dunia dan di akhirat “ .

Ataupun contohnya : “ Ya Allah Ya Tuhanku , aku bermohon kepada-Mu dengan seluruh kecintaanku kepada Nabi-Mu , dengan keimananku dan dengan ketauhidanku …… “ .

Doa seperti inilah juga yang pernah digunakan oleh 3 orang yang pernah terperangkap di dalam gua sebagai mana diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari rh dan al-Imam Muslim rh .

{ 3 } – Bertawassul dengan doa orang yang soleh :

Seperti seseorang itu berkata kepada seorang yang soleh : “ Pak Haji , saya mintak tolong pak haji doakan saya ya , dan saya pun tak lupa juga untuk berdoa kepada Allah Ta’ala “ .

Ataupun dia berkata : “ Tok Guru ! , anak saya ndak periksa SPM tak lama lagi , dia dah usaha dan berdoa , saya sebagai emaknya juga dah usaha membimbingnya dan mendoakan kejayaannya . Sekarang kami anak-beranak ni mitak tolong tok guru juga tolonglah doakan dia sama ya “ .

Bertawassul jenis ke-3 ini juga tidak menjadi masalah di kalangan sekalian ulama’ rh kerana ianya termasuk di dalam tuntutan ayat 2 drp Surah al-Maidah :

وَتَعَاوَنُواْ عَلَى الْبرِّ وَالتَّقْوَى وَلاَ تَعَاوَنُواْ عَلَى الإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُواْ اللّهَ إِنَّ اللّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Ertinya : “…..dan bertolong-tolonganlah kamu di atas dasar kebajikan dan taqwa dan janganlah kamu saling tolong-menolong di atas dasar melakukan dosa dan permusuhan . Dan takutlah kamu semua kepada Allah , sesungguhnya Allah sangat keras siksaan-Nya “.

Bukan itu sahaja , malahan ketika Saidina ‘Umar r.a mahu mengerjakan ‘umrah , Baginda Rasullah s.a.w sendiri meminta agar beliau r.a tidak lupa mendoakan Baginda Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a yang ditinggalkan di al-Madinah al-Munawwarah. Sabda Baginda Rasulullah s.a.w kepadanya r.a ( yang bermaksud ) : “ Janganlah engkau melupai kami wahai saudaraku di dalam doa engkau “ . ~ Hadist hasan sahih diriwayatkan oleh al-Imam at-Tirmidzi rh , al-Imam Abu Daud rh dan al-Imam Ahmad Bin Hanbal rh .

Inilah ketiga-tiga bentuk tawassul ataupun wasilah ataupun wasitah yang disepakati oleh para ulama’ rh dan tiada seorang pun daripada mereka yang menegah daripada melakukannya .

Ketiga : TAWASSUL YANG MENJADI TOPIK KONTROVERSI :

Ialah bertawassul dengan “ JAH “ ( Gah / Kedudukan / Maqam / Martabat / Hak ) ataupun diri seseorang yang soleh itu di sisi Allah Ta’ala .

Ada di kalangan para ulama’ rh yang mengatakan boleh bertawassul dengan cara ini ( cara ke-4 ini ) hanya dengan Baginda Rasulullah s.a.w disebabkan Baginda s.a.w sendiri mempunyai kedudukan dan darjat yang sangat istimewa di sisi Allah Ta’ala dan disebabkan Baginda s.a.w adalah rahmat bagi sekalian alam dan juga disebabkan Baginda s.a.w adalah penghulu bagi sekalian keturunan Nabi Adam a.s ~ Pendapat ini didokongi oleh al-Imam Ahmad Bin Hanbal rh , Syeikhul Islam Ibnu Hajar al-‘Asqolani rh dan al-Imam ‘Izzuddin Bin ‘Abdus Salam rh . { Lihat al-Ibda’ fi Madhor al-Ibtidaa’ oleh Almarhum al-‘Allamah Syeikh Ali Mahfuz , halaman 210 } .

Contoh doanya : “ Ya Allah Ya Tuhanku , aku bermohon kepada-Mu dengan kelebihan dan kedudukan yang ada pada diri kekasih-Mu , Saidina Rasulullah s.a.w agar dikabulkan segala hajatku “ .

Sebahagian ulama’ rh pula ada yang membolehkan bertawassul dengan cara ini dengan mana-mana sahaja orang solihin rh ( tidak khusus untuk Baginda Rasulullah s.a.w sahaja ) . ~ Pendapat ini didokongi oleh Al-Imam Tajuddin as-Subuki rh , bahkan al-Imam asy-Syaukani rh , Syeikh Zahid al-Kautsari rh dan juga al-Imam al-Alusi rh juga menyokong pendapat ini .

Contohnya seperti doa seseorang : “ Ya Allah Ya Tuhanku , dengan kelebihan kedua-dua orang sahabat yang menemani kekasih-Mu , Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar , aku mohon ditunaikan segala permintaanku “.

Akan tetapi , berdoa dengan menggunakan kaedah / pendekatan / tawassul sebegini adalah TIDAK DIBENARKAN oleh minoriti ulama’ rh yang dipelopori oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah rh dan Syeikh Muhammad Bin Abdul Wahhab rh . Mereka mengatakan bahawa berdoa dengan cara ini adalah BID’AH yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana sahabat r.a .

Dan tawassul jenis ke-4 inilah yang menjadi TOPIK UTAMA perbahasan kita sekarang !.

Keempat : SIKAP MELAMPAU DRP PIHAK YG PRO & KONTRA :

Jika diperhatikan permasalahan ini dengan cermat , tentu kita akan dapati adanya pihak yang bersikap melampau di dalam pendiriannya .

Melampau , sama ada dari segi menerimanya ataupun menolaknya .

Yang menerimanya ( pro ) , akan berhujah dengan segala dalil yang ada walaupun dalil itu adalah dhoi’ef ( palsu ) ataupun sampai melakukan qiyas dan ta’wil yang jauh lari daripada kaedah-kaedahnya .

Yang menolaknya ( kontra ) pula , akan berhujah dengan segala kemahiran yang ada sehingga tidak mahu lagi mendengar apa-apa pandangan selain drp apa yang dipegang dan sampai memandang enteng dan sinis segala dalil yang dipegang oleh pihak yang pro .

Itu adalah gambaran bagi sikap golongan yang melampau .

Manakala GOLONGAN YANG SANGAT MELAMPAU @ KETERLALUAN pula ada dua pihak juga .

Satu pihak yang pro , akan mengatakan bahawa sesiapa sahaja yang berdoa tanpa bertawassul maka doanya tidak sah dan tidak maqbul , ataupun sudah tentu jadi Wahabi 100% , ataupun sudah tentu sesat sesesat-sesatnya ! .

Bukan itu sahaja , malahan mereka mengatakan bahawa di dunia ini dikuasai oleh 4 orang Wali Qutub yang menguasai 4 kutub dunia , dan keempat-empat “ Wali Qutub “ itu mempunyai kuasa luar biasa untuk memerintah alam ini ! .

Yang kontra pula , akan mengatakan bahawa sesiapa sahaja yang bertawassul walaupun dengan kedudukan Nabi Muhammad s.a.w maka ianya tidak ubah seperti perbuatan musyrikin , seperti mereka yang menyembah patung Budha dan cara ini bukan sahaja HARAM , malahan SYIRIK dan MENYEBABKAN MURTAD ! .

NastaghfirulLahal ‘Adzim …………NastaghfirlulLahal ‘Adzim .

Inilah gambaran SIKAP MELAMPAU bagi kedua-dua pihak .

Dan agama Islam yang maha suci bersih ini sudah tentu tidak akan menerima sikap melampau sedemikian rupa kerana Islam itu sendiri datang dengan membawa kesederhanaan dan penyatuan .

Kelima : APA YANG AKAN DIKETENGAHKAN DI SINI ? :

Saya TIDAK MAHU mendatangkan segala dalil dan cara pengkajian bagi kedua-dua pihak di atas kerana itu sendiri boleh saudara-saudari dapati di dalam setiap buku / kitab yang menyokong pendapat mereka masing-masing .

Dan saya sendiri tidak berminat untuk menggesa saudara-saudari semua memilih mana-mana pendapat daripada mana-mana daripada 2 kumpulan di atas , kerana , kalau saya mengatakan ia adalah DITUNTUT , sudah pasti saudara-saudari yang tidak setuju dengan gesaan saya itu akan menghentam saya habis-habisan dengan segala karangan ulama’ yang beribu-ribu helai muka surat itu . Dan tidak mustahil pula ada yang akan menuduh saya : “ Haa ! tu lah pergi ngaji Mesir sangat, kan dah jadi kepala otak serupa orang tareqat ! “ .

Dan kalau saya melarang dengan mengatakan bahawa bertawassul jenis ke-4 itu adalah TIDAK DIBENARKAN , tentu pula ada saudara-saudari “ yang tidak sealiran “ dengan saya akan menghentam segala hujah saya dengan beribu-ribu helaian drp kitab-kitab karangan ulama’ rh . Dan sudah tentu mereka akan terpaksa “ kerobek semula “ kitab-kitab yang ditulis oleh al-Imam as-Subuki rh , Syeikh Yusuf an-Nabhani rh ataupun Syeikh al-Alawi al-Makki rh . Dan tidak kurang pula mungkin ada yang akan mula “ menyerang “ saya dengan mengatakan : “ Tu lah pergi mengaji Mesir sangat ….kan dah jadi Wahabi ! , kalau engkau terus duduk sini mengaji bersama-sama kami dah tentu engkau tak begitu “ .

Oleh itu , bukanlah tugas saya di sini mempersembahkan dalil-dalil dan cara pengkajian bagi setiap pihak yang pro dan kontra itu sebab saya yakin ianya TIADA KESUDAHANNYA ! .

Yang akan saya persembahkan di sini ialah JALAN MEMAHAMI KEDUDUKAN MASALAH INI lalu dengan cara itu mudah-mudahan kita akan dapat mencari JALAN PENYELESAIAN bagi masalah Tawassul jenis ke-4 itu .

Apakah jalan penyelesaiannya ? .

Penyelesaiannya ialah : Usul ke-14 dan Usul ke-15 daripada Usul 20 yang terkandung di dalam Risalah at-Ta’alim yang dihasilkan oleh Al-Imam asy-Syahid Hassan al-Banna rh berdasarkan kefahamannya terhadap al-Quranul Karim dan Sunnah Baginda Rasulullah s.a.w dan berdasarkan pengalaman beliau berdakwah dan menyeru manusia kepada ajaran Allah Ta’ala dan Rasul-Nya s.a.w .

Kata beliau rh di dalam Usul ke-14 :

وزيارة القبور أيا كانت سنة مشروعة بالكيفية المأثورة , ولكن الاستعانة بالمقبورين أيا كانوا ونداؤهم لذلك وطلب قضاء الحاجات منهم عن قرب أو بعد والنذر لهم وتشيد القبور وسترها وأضاءتها والتمسح بها والحلف بغير الله وما يلحق بذلك من المبتدعات كبائر تجب محاربتها , ولا نتأول لهذه الأعمال سدا للذريعة

Ertinya : “Menziarahi kubur dalam apa keadaan sekali pun adalah perkara sunat yang disyariatkan dengan cara-cara yang ma’tsur ( sunnah ) . Tetapi meminta pertolongan dari ahli-ahli kubur siapa sekali pun mereka, menyeru mereka kerana perkara tersebut, menuntut mereka menunaikan segala hajat sama ada dari dekat atau jauh, bernazar kepada mereka, membangunkan binaan di atas kubur, menyelimutinya, meneranginya, mengusap-ngusapnya, bersumpah dengan sesuatu selain Allah dan seumpamanya yang terdiri daripada perkara-perkara bid’ah adalah dosa-dosa besar yang wajib diperangi. Kita tidak mentakwilkan amalan-amalan ini dengan tujuan menutup jalan kemungkaran. “

Kata beliau rh di dalam Usul ke-15 :

والدعاء إذا قرن بالتوسل إلى الله تعالى بأحد من خلقه خلاف فرعي في كيفية الدعاء وليس من مسائل العقيدة

Ertinya : “Berdoa apabila dibuat dengan cara bertawasul kepada Allah dengan salah satu makhluk-makhlukNya, merupakan perselisihan pada masalah furu’ (cabang) di dalam kaifiat (cara-cara) berdoa, dan bukannya permasalahan aqidah. “

Keenam : TAWASSUL : MASALAH AQIDAHKAH ATAUPUN FIQH ? :

Sebagai mana yang telah dinyatakan sebelum ini , tidak sedikit di kalangan umat Islam , hatta para cendekiawan Islam yang “ terbabas dan tergelincir “ di dalam bab dan masalah ini sehingga mereka menganggap masalah tawassul ini adalah masalah ‘Aqidah .

Bahkan tidak sedikit juga yang beranggapan bahawa Tawassul dan al-Istighatsah Bil Amwat Awil Maqburin ( Memohon hajat bantuan drp mereka yang telah meninggal dunia / para penghuni kubur ) adalah SAMA dan SERUPA ! .

Menyeru para penghuni kubur , tidak kiralah siapa pun , adalah HARAM , TERTEGAH dan bahkan TIDAK KURANG BOLEH MEMBAWA KEPADA SYIRIK DAN MURTAD ! . Dan ini sudah pastilah ini adalah masalah di antara Iman VS Syirik – Kufur . Dan sudah pasti ini adalah masalah ‘Aqidah ( Tauhid / Iman ) .

Manakala bertawassul pula ialah BERDOA HANYA KEPADA ALLAH TA’ALA , Cuma menggunakan pendekatan dan cara . Dan pendekatan dan cara itu ada yang dikatakan BOLEH dan ada pula yang dikatakan TIDAK BOLEH ( oleh sebahagian ulama’ ) . TIDAK BOLEH pula ada yang menganggapnya sebagai MAKRUH , ada yang menganggap sebagai HARAM dan ada pula yang mengganggap ia sebagai BID’AH YANG SESAT .

Masalah bertawassul dengan cara ke-4 di atas , adalah masalah APAKAH KAIFIAT ( CARA PERLAKSANAAN ) . Maka ia adalah masalah Fiqh ( Fekah ) .

Di antara para ulama’ rh yang mengatakan bahawa mas!lah ini adalah MASALAH FIQH bukannya MA ALAH ‘AQIDAH ialah : [/b]

1 – Almarhum Syeikh Muhammad Husnain Makhluf ~ bekas Mufti Mesir .

2 – Syeikhul Islam al-Imam Ibnu Taimiyah rh ~ walaupun belia5 sendiri mengatakan tawassul je.is ke-4 ini adalah dila2ang .

3 – Almarhum Al-Muhaddits asy-Syeikh Muhammad Na3iruddin al- lbani r( di dalam k)tab.ya At-Taw!ssul Wa Anwa’uh Wa Ahka-uh “ dan Sy!rh !l-‘Aqidah at-Tohawi9ah ( halama. 59 – 60 ) .

4 – Almarhum al-‘Allamah Syeikh ‘Abdul ‘Aziz Bin ‘Abdullah Bin Baz ~ bekas Mufti Kerajaan Arab Saudi .

5 – Almarhum Syeikh Muhammad Najib al-Muti’ie rh ~ salah – seorang ulama’ besar Al-Azhar asy-Syarif .

6 – Al-Imam asy-Syahid Hasan al-Banna rh sendiri menerusi Risalah at-Ta’alimnya .

7 – Al-‘Allamah Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi ~ di dalam Syarh al-Usul al-‘Isyrin dan di dalam Fiqh Wa Usuluh ( kedua-dua di dalam bentuk kaset syarahan dan cd ) .

Ketujuh : BEBERAPA PERHATIAN PENTING & KESIMPULAN :

1 – Tawassul yang paling afdhol ialah bertawassul dengan nama-nama dan sifat-sifat Allah Ta’ala Yang Maha Agung Lagi Maha Indah , dan Tawassul yang menjadi TOPIK KONTEROVERSI ialah drp Jenis ke-4.

2 – Masalah Tawassul ( termasuklah Jenis ke-4 ) ini adalah masalah yang berkaitan dengan BOLEH ataupun TIDAK , ertinya ia adalah masalah Fiqh / Cara Perlaksanaan Doa DAN IA BUKANLAH berkaitan dengan masalah IMAN ataupun SYIRIK yang boleh menyebabkan seseorang yang bertawassul itu menjadi musyrik ataupun kafir ! .

Ertinya masalah Tawassul ( jenis ke-4 ini ) adalah masalah yang sama dengan masalah Qunut Subuh , masalah Qiyam ( di manakah tangan patut di letak semasa sembahyang , di dadakah , di perutkah ataupun di bawah perut ? ) . Masalah ini juga adalah masalah furu’ ( cabang / ranting ) yang menjadi KHILAFIYAH ( diperselisihi / berbagai pandangan ) seperti adakah BASMALAH di dalam solat dibaca perlahan ataupun dengan kuat ? .

Adakah boleh dikafirkan ataupun dihukum rosak aqidah ( sesat ) orang-orang yang membaca Qunut Subuh ataupun yang tidak membacanya ? .

Adakah boleh dikafirkan ataupun dihukum rosak aqidah ( sesat ) orang-orang yang membaca Basmalah secara Jahar ( Kuat ) ataupun Sir ( Perlahan ) ? .

Adakah boleh dikafirkan ataupun dihukum rosak aqidah ( sesat ) orang-orang yang meletakkan tangan mereka di antara dada dan perut di dalam sembahyang ? .

Maka begini jugalah dengan MASALAH TAWASSUL ini , ia BUKANLAH masalah ‘Aqidah dan bukanlah juga termasuk di dalam Rukun Iman . Bahkan sebenarnya ia adalah masalah FIQH ( Fekah ) iaitu menentukan bagaimanakah cara berdoa yang dituntut .

Masalah yang menjadi masalah ‘Aqidah dan topik Iman ataupun Syirik / Kufur adalah masalah “ MEMOHON PERTOLONGAN DARIPADA ORANG-ORANG YANG TELAH MATI “ ataupun beranggapan bahawa orang-orang mati itu ada kuasa yang boleh mendatangkan manfaat ataupun mudharat ! .

3 – Sikap menyamakan kaum muslimin yang berdoa dengan cara bertawassul ke-4 ini dengan kaum musyrikin yang menyembah patung dan berhala adalah SATU TINDAKAN YANG MELAMPAU @ QIYAS MA’A al-MAFARIQ ( Perbandingan Yang Rosak ) . Ini disebabkan walaupun SEOLAH-OLAH SAMA( diulangi perkataan “ seolah-olah “ ) dengan cara ibadat orang kafir akan tetapi ianya TIDAKLAH SERUPA .

Sebab orang-orang kafir yang menyembah patung-patung dan berhala-berhala itu semuanya BERIKTIQAD bahawa berhala-berhala itu sendiri boleh mendatangkan mudharat dan manfaat . Selain itu mereka juga beriktiqad bahawa semua patung itu adalah perantaraan yang wajib ada ( yang mesti kena ada ) , dan kalau tiada perantaraan-perantaraan yang berupa patung dan sajian makanan itu , maka ibadat mereka TIDAK AKAN DITERIMA oleh Tuhan Yang Maha Esa .

Walhal umat Islam yang bertawassul dengan Baginda Rasulullah s.a.w ataupun orang-orang yang soleh itu TIDAK TERLINTAS LANGSUNG di fikiran mereka bahawa Baginda Rasulullah s.a.w dan orang-orang soleh itu ada KUASA MUTLAK seperti “ Kuasa Ketuhanan “ sehinggakan boleh mendatangkan mudharat dan manfaat dengan sendiri ! . Tidak sama sekali begitu ! .

Kemudian , umat Islam yang bertawassul itu juga tidak pula menganggap bahawa kalau tidak bertawassul dengan Baginda Rasulullah s.a.w ataupun orang-orang yang soleh , maka doa mereka akan tertolak ( tidak diterima ) oleh Allah Ta’ala . Tidak sama sekali sedemikian ! .

Inilah perbezaan di antara kaum muslimin dengan para penyembah patung-patung dan berhala-berhala .

Dan perbezaan ini juga adalah sama dengan perbezaan di antara bertawassul dengan memohon pertolongan ghaib daripada orang-orang yang telah mati ataupun daripada para penghuni kubur ( al-Istighosah / al-Isti’anah Bil Amwat Aw Bil Maqburin ) , silalah memahaminya elok-elok !!! .

Dan setakat SEOLAH-OLAH SERUPA tidak boleh dijadikan hujah untuk mengatakan bahawa tawassul itu PASTILAH SYIRIK @ KUFUR sebab di antara ibadah kita dengan orang-orang bukan Islam pun ada yang SEOLAH-OLAH sama walaupun hakikatnya tidaklah serupa .

Contohnya sembahyang : Kita bersembahyang dengan cara adanya rukuk dan sujud , dan kaum Budha di Tibet juga ada sembahyang dengan sujud ( bahkan terus meniarap ke bumi ) , adakah ini bermakna orang-orang Islam meniru cara ibadat mereka !? .

Contoh lain : Orang-orang Islam membaca al-Quranul Karim dengan cara “ menggoyang-goyangkan badan “ ( ini tidaklah wajib ) khasnya bagi pelajar-pelajar tahhfiz , agar tidak bosan dan mengantuk dan mempraktikkan kaedah “ pergerakan badan semasa belajar menyebabkan otak pun turut sama aktif “ .

Orang-orang Yahudi pula membaca kitab Taurat dan Telmud mereka dengan “ menggoyang-goyangkan badan mereka “ di Tembok Ratapan berdekatan Masjid al-Aqso . Bukan setakat itu , bahkan sampai menangis-nangis dengan suara yang kuat .

Nampak macam sama di antara cara pelajar-pelajar tahfiz dengan mereka .

Nampak aje macam sama , tapi adakah ia BETUL-BETUL SAMA @ SERUPA @ SEBIJIK ??? .

Adakah disebabkan MACAM SAMA AJE , kita boleh mengharamkan pelajar-pelajar tahfiz daripada menggoyang-goyangkan badan mereka semasa membaca / menghafal al-Quranul Karim !? .

Contoh : Orang-orang Islam ada yang berkopiah , berserban dan berjubah dan memelihara janggut mereka. Orang-orang bukan Islam pun ada yang berkopiah dan berserban ( Contohnya : Yahudi dan Pendita Kristian dan Kaum Benggali yang beragama Sikh ) , pendita-pendita Yahudi dan Kristian Ortodoks serta sami-sami Hindu pun berjanggut dan berjambang panjang .

Adakah ini bermakna umat Islam sekarang HARAM berserban , berjubah dan berjambang / berjanggut sebab ianya menyebabkan kita ini dilihat SAMA dengan golongan bukan Islam !? .

4 – Sikap mahu membincangkan masalah ini adalah sama dan serupa dengan cara dan adab ketika mahu membincangkan masalah-masalah yang KHILAFIYAH ( Khilafiyah sebenar ) . Iaitu hendaklah dengan berlapang dada dan sudi mendengar setiap pandangan yang berlawanan dengan pandangan masing-masing .

5 – Sesiapa yang mahu berdoa tanpa bertawassul dengan kaedah ke-4 di atas , SILAKAN . Dan sesiapa pula yang mahu mempraktikkannya SILAKAN JUGA ! .

Yang tidak dibenarkan ialah : MENYEMBAH DAN MEMOHON PERTOLONGAN PATUNG-PATUNG , BERHALA-BERHALA DAN ORANG-ORANG YANG TELAH MATI .

Dan yang tidak dituntut juga ialah SIKAP EKSTRIMIS DAN MELAMPAU , sama ada drp pihak yang pro ataupun kontra .

6 – Hujah TIDAK BOLEH BERTAWASSUL DENGAN BAGINDA RASULULLAH S.A.W kerana dikhuatiri akan berjangkit pula menjadi “ al-Istighatsah Bil Amwat Awil Maqburin “ dan sebagai “ SADDU adz-DZARAIE “ mestilah digunakan secara cermat . Bukannya secara mutlak , berleluasa dan “ pukul rata “ .

Sebab kalau tidak digunakan dengan cermat , tidak mustahil ada pula yang kata : “ Saya tidak mahu solat di Mekkah sebab nanti dikhuatiri orang kata saya MENYEMBAH Ka’abah , bukannya menyembah Allah Ta’ala “ .

Dan tidak mustahil juga mereka yang jahil akan menggunakan kaedah “ Saddu adz-Dzaraie’ “ secara berleluasa tanpa sempadan dengan mengatakan : “ Buat apa sembahyang dengan rukuk dan sujud sebab ianya menyerupai ibadat orang-orang bukan Islam “ .

7 – Saudara-saudari kita yang mengaku sebagai “ SALAFIYIN “ selama ini , hendaklah memeriksa kembali hujah-hujah dan sikap mereka terhadap masalah ini ( tawassul jenis ke-4 ) ini kerana ulama’ salaf yang selalu mereka “ war-war ” kan sendiri TIDAK MENGATAKAN bahawa Tawassul jenis ke-4 ini boleh menyebabkan syirik , kufur dan murtad .

Janganlah mudah-mudah mengaku sebagai SALAFIYIN walhal sikap kita melampau dan ekstrim tidak ubah semacam MUBTADI’IEN dan MUGHALIN ! .

Dan janganlah pula mudah-mudah menuduh orang yang tidak “ sebulu “ dengan kita sebagai kaum mubtadi’ien ( ahli bid’ah ) dan kaum muta’assibin ( kaum yang taksub ) walhal kita sendiri hanya membaca karangan-karangan ulama’ dan tuan-tuan guru daripada aliran kita sahaja-sahaja . Tanpa disedari , kita pun menjadi MUQALLIDIN !!! .

Sekian. Semoga ada manfaatnya bersama .
Wallahu A’alam Bis Sowab
Wahuwa Yahdi Ila Sabilir Rasyad .

و صلّى الله على سيّدنا محمّد و على آاله و صحبه و سلّم والحمد لله رّب العالمين

RUJUKAN & SARANAN PEMBACAAN

1 – FAHMUL ISLAM FI DZILAL al-USUL al-‘ISYRIN
Oleh : Syeikh Jum’ah Amin’Abdul ‘Aziz
Halaman : 201 - 225
Dar ad-Da’awah , al-Iskandariah , Mesir .

2 – NAZOROT FI RISALAH at-TA’ALIM
Oleh : Dr. Muhammad ‘Abdullah al-Khatib ha & Syeikh Muhammad ‘Abdul Halim Hamid
Halaman : 130 – 137
Daru Tawzie’ Wan Nasyr al-Islamiyah , Kaherah .

3 – ADHWA’ ‘ALA al-USUL al-‘ISYRIN
Oleh : Syeikh ‘Isom Ahmad al-Bashir
Halaman : 56 – 58
Terbitan : Maktabah al-Manar al-Islamiah , Kuwait { 1990 } .

4 – SYARH al-USUL al-‘ISYRIN
Oleh : Al-‘Allamah Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi ha
Terbitan : Syarikat Asolah , Kaherah .

5 – al-FIQH WA USULUH
Oleh : Al-‘Allamah Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi ha
Terbitan : RDI Software , Egypt .

6 – AHSANUL KALAM FIL FATAWA WAL AHKAM
Oleh : Al-‘Allamah Syeikh ‘Atiah Saqr ( ha )
[ Bekas Pengerusi Lujnah Fatwa AL-Azhar ]
Jilid 1 , Vol : 2, ms 263 – 283 .
Darul Ghad al-‘Arabi , Kaherah

7 – FIQHUS SIRAH an-NABAWIYAH
Oleh : Al-‘Allamah Prof. Dr.Muhammad Sa’id Ramadhan al-Bouty
[ Dekan Jab. Perbandingan Agama , Universiti Damsyiq , Syiria ]
Halaman : 139 – 141 ( Perkara ke-7 )
Terbitan : Darus Salam , Kaherah { Cetakan ke-enam 1999 } .

8 – SYARH al-‘AQIDAH at-TOHAWIYYAH
Komentar & Pencarian sumber hadis oleh : Almarhum al-‘Allamah al-Albani rh .
Halaman : 59 – 60
Terbitan : al-Maktab al-Islami , Beirut { 1988 }

9– HALAMAN-HALAMAN WEB :

http://dictionary.al-islam.com/
http://www.islamonline.net./completesearch/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=5717
http://www.islamonline.net./completesearch/english/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=16539
http://www.islamonline.net./completesearch/english/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=45694
http://www.islamonline.net./completesearch/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=46290
http://www.islamonline.net./completesearch/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=11041

و إلى اللقاء إن شاء الله تعالى
والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته

0 comments:

Post a Comment