07 March 2009

Kaedah Rawatan Dan Menangkap Jin

Salam

Saya ada mengikut sahabat saya dalam berurusan dengan seorang guru agama yang juga menjalankan rawatan khusus mengenai hal-hal jin yang merasuk pesakit. Kaedah yang beliau lakukan ialah dengan mengeluarkan jin daripada tubuh pesakit dan memasukkannya kedalam botol. Perawat berkenaan akan melakukan perkara tersebut selepas 2 – 3 kali rawatan ulangan iaitu selepas memberi peluang jin terbabit untuk keluar dari tubuh pesakit dengan cara baik. Perawat berkenaan boleh berkomunikasi dengan jin ini melalui pesakit yang sedang terasuk.

Adakalanya perawat ini akan melakukan kaedah berlawan (bersilat) dengan jin terbabit melalui pesakit yang dirasuk atau menyerang (membakar/memusnah) sarang/tempat tinggal jin terbabit. Cara ini dilakukan tidak kira samaada jin yang merasuk ini bertuan (dengan cara menyihir pesakit) atau jin yang menumpang (jin liar). Ada ketikanya jika jin berkenaan jin kafir, perawat akan mempelawa jin berkenaan masuk ugama Islam.

Pada pengamatan saya perawat ini tidak langsung berselindung dalam melakukan rawatan terhadap pesakit, semuanya dilakukan dihadapan pesakit, ahli keluarga atau pesakit lain yang menunggu giliran untuk dirawat. Tiada penggunaan kemenyan, sintuk, limau, bunga-bungaan, tali ikat lembu, air telaga/perigi tinggal, air kolah masjid, keris berusia ratusan tahun, menurun, panglima hitam, atau apa jua peralatan yang biasanya kita temui jika berurusan dengan bomoh, pawang, tuk dukun atau mereka-mereka yang boleh kita lihat dengan mata kasar menggunakan jin pendamping.

Dari pada perbualan yang saya ikuti ketika dirumah perawat ini, ramai daripada pesakit yang menerima rawatan daripada perawat ini telah berjaya disembuhkan dan yang paling menarik sekali ialah perawat ini hanya menyentuh tubuh pesaki wanita (jika terpaksa) dengan beralas (kain putih) dan rawatan dijalankan secara percuma.

Persoalannya: Ada segelintir orang melabelkan cara rawatan ini bertentangan dengan hukum Islam kerana ianya mengunakan bantuan jin (untuk mengeluarkan jin dan memasukkannya ke dalam botol). Hujah-hujah yang mereka ini gunakan agak lemah dan tidak menyakinkan saya. Bagaimana agaknya pandangan ustaz?

*****************
pendekar

وعليكم السلام و رحمة الله وبركاته
{ بسم الله الرحمن الرحيم }
(( رب إشرح لي صدري و يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي ))

Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta'ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama' yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta'ala dan seluruh muslimin. Amin.

Terima Kasih kepada Saudara kendil bolong yang telah mengemukakan soalan di atas .

Saya bukanlah pakar di dalam bidang perubatan rohani ini sehinggakan saya layak untuk membahaskan semua perkara yang berkaitan dengan alam perubatan tersebut . Dan saya percaya , tidak ada seorang manusia yang mahir dan ‘alim di dalam semua bidang melainkan dia hanyalah pakar dan mahir di dalam bidang-bidang tertentu sahaja .

Begitulah juga dengan ustaz dan ustazah , bukan semua ustaz / zah boleh dan dapat memberikan penerangan mengenai perubatan rohani ini dengan baik sebagai mana bukan semua ustaz / zah mampu berpidato dan menulis dengan baik .

Jadi , respon yang saya berikan ini bukanlah datang daripada seorang pakar . Malahan saudara-saudari sendiri boleh membahaskannya dan boleh membetulkannya jika ada sebarang kekuranan dan kesilapan .

Menurut sedikit pengetahuan yang saya miliki , rawatan yang dijalankan oleh ustaz tersebut TIDAK ADA APA-APA SALAHNYA MENURUT ISLAM .

Boleh menangkap jin dan memasukkannya ke dalam botol , boleh bersilat dengan orang yang diserapi jin & syaitan , boleh berhubung dengan pesakit secara rohani dan sebagainya itu semuanya SUDAH TENTU TIDAKLAH MUSTAHIL apabila ianya diizinkan oleh Allah Ta’ala .

Apatah lagi jika si perawat itu sendiri adalah orang yang dekat dengan Allah Ta’ala , baik pula hubungannya kepada Tuhannya , sangka baik dan keyakinannya terlalu tinggi kepada Allah Ta’ala , maka tidaklah mustahil juga Allah Ta’ala memberikan kepadanya KELEBIHAN yang tidak dimiliki oleh orang lain .

Adapun jika ada masalah-masalah amalan rohani dan kebatinan yang diamalkan oleh si perawat itu , maka itu masalah DALAMAN , dan saya tidak dapat memberikan hukum menurut apa yang ada di dalam hati manusia ( yang tersirat ) .

Cuma nasihat saya , kenalilah dahulu syaksiah ( keperibadian ) si perawat yang mahu kita mohon bantuannya ( di dalam perubatan rohani ini ) . Kalau dia seorang yang taat beragama , beramal dengan al-Quranul Karim dan Sunnah , tidak beramal dengan bid’ah dan syirik , tidak beriktiqad dengan ‘aqidah yang sesat , takhyul dan khurafat, tidak pula berubat dengan cara , kaedah dan bahan-bahan yang dilarang oleh Islam , maka TIDAKLAH MENGAPA ( Harus dan dibenarkan ) .

Tapi kalau si perawat itu sendiri merupakan orang yang tidak peduli halal dan haram , berubat pula dengan menggunakan kaedah , cara dan bahan yang bertentangan dengan Islam ( bukan itu sahaja malahan caranya sendiri tidak masuk akal sama sekali seperti ) , tidak beramal pula dengan al-Quranul Karim dan Sunnah , suka pula melakukan bid’ah dan syirik , percaya pula kepada perkara-perkara yang khurafat dan takhyul , maka JAUHILAH si perawat-perawat , tabib-tabib, bomoh-bomoh , pawang-pawang dan dukun-dukun sebegini !!! .

Berubatlah terlebih dahulu dengan menggunakan kaedah dan cara yang logik terlebih dahulu, maksud saya silalah ke klinik dan hospital terlebih dahulu .

Jika tidak serasi dan sesuai dengan cara klinik dan hospital yang menggunakan “ Allopathy “ , boleh pula mencuba “ Homoepathy “ , “ Herbalogy “ ( Nusantara , Cina & India ) , “ Aromatheraphy “ , “Ayurvedic “ ( perubatan India ) , “ Accupunture “ ( Cina ) , “ Bekam “ ( kaedah Arab dan Cina ) , “ Urut dan refleksi , ataupun kaedah perubatan warna ( Aura & Vibration ) .

Kalau semua kaedah di atas tidak boleh , maka tidak mengapa mencuba pula menggunakan kaedah-kaedah perubatan rohani ( selagi ianya tidak bertentangan dengan Islam ) .

Tidak ada seorang doktor pun yang boleh mendabik dada mengatakan kaedah perubatannya sahajalah yang paling sesuai untuk merawat penyakit dan ini , malahan setiap kaedah dan cara itu ada kelebihan dan ada kekurangannya masing-masing .

Bertanyalah kepada mereka yang benar-benar mahir di dalam bidang tersebut untuk penjelasan lanjut .

Manakala di dalam masalah perubatan rohani & makhluk halus ini, saya kira lebih baik saudara mengemukakan soalan kepada al-Fadhil Ustaz Dr. Amran Kasimin yang biasa menulis di dalam Utusan Malaysia ( Edisi Ahad ) dan merawat penyakit-penyakit rohani dan “ dalaman “ seperti ini .

Ataupun , mungkin saudara boleh cuba bertanya kepada al-Fadhil Prof. Dato’. Dr. Harun Din al-Hafiz yang membuka Pusat Perubatan Darus Syifa’ di Bandar Baru Bangi .

Tidak salah juga saudara cuba dapatkan penjelasan mengenai hal ini daripada al-Fadhil Dr. Jahid Sideq ( bekas pensyarah Fak. Usuluddin UKM ) yang biasa juga menjalankan rawatan seperti ini .

Dan bagus juga kalau ada masa , saudara cuba dapatkan lagi maklumat lanjut mengenai hal-ehwal perubatan cara ini daripada al-Fadhil Dato’ Ustaz Ismail Kamus .

Seorang lagi tokoh yang masih belum dikenali ramai ialah al-Fadhil Dr. Saiyid Muhammad ‘Aqil Bin ‘Ali al-Mahdali ( Dekan Fak. Usuluddin INSANIAH Kedah D. A ) yang bukan calang-calang orangnya . Beliau terkenal di kalangan ulama’ Tanah Arab di sini dan berasal drp Indonesia ( Orang Sulawesi kalau tak silap saya ) .

Saya mengemukakan nama-nama tokoh di atas kerana mereka bukan sahaja ada ilmu di dalam bidang perubatan rohani ini , malahan mereka juga diakui sebagai “ tokoh agama “ berdasarkan ilmu dan ijazah pengajian agama yang mereka miliki . ( Bukan sekadar jadi ustaz disebabkan pandai berubat atau pandai bersilat sahaja ) .

Itulah sahaja jawapan dan respon yang dapat saya berikan . Saya tidak berani “ bercakap lebih-lebih “ memandangkan pengetahuan saya di dalam bidang ini ( termasuklah di dalam bidang agama ) pun masih terlalu cetek .

Kalau mahu “ membedah “ satu-persatu hal-ehwal alam perubatan rohani ini , yang mana boleh dan yang mana tidak boleh , saya kira inilah yang perlu dilakukan oleh mereka yang berada di pejabat-pejabat agama , terutama sekali Ashabus Samahah Dato’-Dato’ Mufti sendiri .

Saya yakin , umat Islam memang menanti-natikan fatwa mengenai hal ini ( dengan fatwa yang lengkap dan jelas serta terkini ) , bukan sekadar menerbitkan risalah-risalah kecil yang hanya difahami oleh segelintir umat Islam sahaja . :bestnyer

Mudah-mudahan Allah Ta’ala menggerakkan hati-hati mereka yang berkerja di pejabat-pejabat agama untuk mengkaji dengan lebih serius mengenai amalan-amalan kerohanian dan kebatinan di dalam perubatan ini ( termasuk di dalam silat dan tareqat ) dan menyatakan segera fatwa berkenaan dengan hal tersebut . Amin Ya Rabbal ‘Alamin .

Sekian . Semoga ada manfaatnya bersama .
Wallahu A'alam Bis Sowab
Wahuwa Yahdi Ila Sabilir Rasyad

و صلّى الله على سيّدنا محمّد و على آاله و صحبه و سلّم والحمد لله رّب العالمين


و إلى اللقاء إن شاء الله تعالى
والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته

0 comments:

Post a Comment