11 March 2009

Doa Awal Dan Akhir Tahun Serta Bubur Asyura

kadeejayasmin

Salam

the subject is self-explanatory on behalf of my question i guess..

Wassalam

**********
kamin
Panel Feqh

wa'alaikumussalam

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan kadeejayasmin dengan kadar kemampuan yang ada, insya-Allah.

Pertama-tamanya, saya ingin memohon ma'af kerana tidak sempat menjawab soalan ini pada awal Muharram.

Do'a merupakan salah satu ibadat yang diamalkan oleh seorang Muslim untuk mendekatkan diri hambanya kepada Allah, disamping memohon bantuan darinya. Terdapat beberapa kategori do'a yang boleh di klasifikasikan.

a. Do'a yang dibaca didalam ibadat khusus oleh Imam - Do'a Qunut dan Qunut Nazilah didalam solat.

b. Do'a yang dibaca didalam ibadat khusus seperti solat yang di baca oleh individu pada beberapa tempat tertentu; eg: di waktu sujud dan sebelum memberi salam (selepas selesai bacaan Tahiyat Akhir).

Kaedah (a) dan (b) menurut jumhur ulama' memerlukan dibaca didalam Bahasa Arab, dan sebaik-baiknya (terutama) memilih do'a-do'a yang diajar oleh Nabi saw.

c. Do'a yang dilakukan pada masa-masa tertentu - Khutbah Jumaat, Khutbah Eid, Khutbah Solat Istisqa', yang hanya memerlukan makmum mengaminkan do'a.

d. Do'a dilakukan di tempat-tempat tertentu atau diwaktu melakukan sesuatu perbuatan berdasarkan hadith-hadith Nabi saw eg: Do'a masuk masjid, do'a nampak Ka'bah, Do'a masuk tandas, dsb, misalnya -

كان النبي صلى الله عليه وسلم إذا دخل الخلاء قال اللهم إني أعوذ بك من الخبث والخبائث
"Nabi saw apabila masuk Tandas beliau akan berkata : Allahumma inni 'auzubika minal khubthi wal Khabaa'ith (Ya Allah, Aku berlindung dengan engkau dari Syaitan jantan dan betina)" [Hadith Riwayat Bukhari ].

e. Do'a yang boleh dilakukan pada bila-bila masa apabila terdapatnya hajat. Do'a-do'a ini juga mempunyai beberapa tahap dari segi lafaz do'a :-

1. Do'a yang terdapat didalam al-Quran
2. Do'a yang terdapat didalam hadith-hadith Nabi saw
3. Do'a yang dibaca oleh para sahabat.
4. Do'a yang disusun oleh manusia sendiri dan juga individu2 yang mempunyai hajat.

- Do'a nombor (4) boleh dibaca dengan bahasa apa sekalipun selagi mana ia tidak mempunyai perkataan2 yang boleh membawa kepada syirik.

- Do'a ini tidak mempunyai nas khusus. Cuma nas umum tuntutan berdo'a. Firman Allah swt :-

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. " [Surah al-Baqarah : 186]

- Do'a-do'a didalam (e) tidak ada kaifiatnya (contoh kaifiat - kena dibaca sebelum sujud seperti doa Qunut Nazilah, atau sebelum masuk tandas dsb). Apabila wujud kaifiat khusus, ia telah menjadi suatu ibadat khas, dan ia memerlukan nas; contohnya do'a bangun tidur diriwayatkan oleh Bukhari (Fath al-bari 11/113], Muslim 4/2083], do'a masuk masjid riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih (4/325) dsb.

-----------
Do'a awal dan akhir tahun.

Apabila dilihat mengenai do'a awal dan akhir tahun ini :-

a. Ia menggambarkan seolah-olah do'a ini datang dari hadith Nabi saw. Contohnya ungkapan seperti do'a Akhir tahun :- Sesiapa yang membaca doa ini maka akan berkata Syaitan,

"Kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak Adam pada tahun ini dan Allah akan membinasakan aku pada saat itu juga. Dengan membaca doa ini Allah akan mengampunkan dosanya setahun."

Dan ungkapan do'a Awal tahun - Sesiapa yang membaca doa ini maka akan berkata Syaitan,

"Telah amanlah anak Adam daripada godaanku pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua malaikat untuk memeliharanya dari fitnah syaitan."

Jika itu tujuannya; hadith ini tidak ada asalnya. Secara logik pun, penetapan kalendar Islam bahawa Muharram merupakan permulaan tahun hijrah adalah pada zaman Umar ra. Maka dalam matan do'a ini, Syaitan berbicara dengan siapa?

b. Do'a ini juga menetapkan kaifiat.

- Selepas Solat Asar di baca do'a akhir tahun dan bacaan sebanyak 3X
- Selepas Solat Maghrib di baca do'a Awal tahun dan bacaan sebanyak 3X

Didalam Islam, apabila wujudnya elemen 'cara' atau kaifiat seperti bila dikehendaki membaca, dan terdapat pula bilangannya, ia menggambarkan sebuah ibadat yang datang bersamanya Nas. Maka jika tidak ada nas sahih, 'cara'nya tidak perlu rigid. Tidak semestinya kita baca selepas Maghrib. Mungkin kita akan baca selepas Isya'. Bagi mereka yang tidak sempat membacanya pada tanggal 1 Muharram, bolehlah membacanya pada keesokkan harinya. Apakah TIDAK VALID membaca do'a Awal tahun bila-bila masa dalam tahun tersebut?

-----------------
Bolehkah kita membaca do'a tersebut?

Hukum : BOLEH membaca do'a dengan syarat2 dibawah :-.

1. Dengan syarat kita yakini bahawa do'a ini merupakan do'a katergori (e), ia itu do'a buatan manusia, dan ia bukan datang dari Nabi saw. Statement dari do'a itu bukan hadith. Janji-janji bahawa syaitan tidak akan menggangu manusia tidak pernah wujud, cuma kita sebagai seorang Muslim memohon agar Allah sentiasa melindungi kita dari hasutan Syaitan.

2. Tidak perlu terhad dengan kaifiat baca selepas solat Asar atau Maghrib. Bila-bila sahaja boleh membacanya.

3. Tidak menetapkan berapa jumlah ulangan bacaannya

4. Anggaplah ia sebagai sebuah do'a untuk kita memohon kepada Allah agar ia merupakan satu permulaan tahun yang baik.

-----------
Bubur Asyura?

Hukum : Bubur sebagai makanan adalah harus dan apabila dijadikan sedekah ia adalah sunat (mendapat pahala bagi orang makan). Nabi saw suka makan bubur, sabdanya :

البركة في ثلاثة: الجماعة، والثريد، والسحور
"Barakah ada didalam 3 perkara : Jemaah, bubur dan sahur" [Hadith Riwayat al-Tabarani didalam al-Kabir].

Akan tetapi, jika ia dikaitkan dengan peristiwa-peristiwa yang tidak pernah wujud, maka kepercayaan yang sebegini adalah haram. Tiada nas khusus yang berkaitan dengan keistimewaan bubur pada hari 'Asyura'.

Amalan yang jelas pada hari 'Asyura' adalah berpuasa, (a)samada 8,9 dan 10, (b) 9 dan 10 atau (c) 10 Muharaam sahaja. Dari Abu Qatadah, beliau berkata : Rasulullah saw bersabda :

صوم يوم عرفة يُكفِّر سنتين: ماضية ومستقبلة، وصوم يوم عاشوراء يكفر سنة ماضية
"Puasa pada hari Arafah menghapuskan (dosa) 2 tahun : yang lepas dan yang akan datang, dan puasa pada hari 'Asyura' menghapuskan (dosa) setahun yang lepas" -[Hadith diriwayatkan oleh semua kecuali al-Bukhari dan Tirmudzi, Nailul Authar, 4/323].

Kesimpulan - Do'a ini bukan asalnya dari Nabi saw, hukum membacanya adalah harus kerana do'a merupakan salah satu amalan yang terpuji, dan isi kadangan do'a tersebut tidak menyalahi syara'. Mengaitkan do'a ini kepada Nabi adalah haram, kerana ini bukan perkataan Nabi dan janji Syaitan itu bolehlah kita anggap sebagai harapan si-penulis do'a tersebut. Begitu juga dengan bubur, ia merupakan makanan yang mendatangkan berkat menurut hadith Nabi, dan ia tiada kaitan langsung dengan hari Asyura'. Makanlah dengan niat untuk kenyang, dan hadiahlah kepada orang lain dengan niat sedekah. WA.

Sekian, wassalam

0 comments:

Post a Comment