07 March 2009

Doa Selepas Iqamah

Salam Adakah terdapat dalil tentang pensyariatan doa selepas iqamah?

****************
kamin
Panel Feqh

Wa'alaikumussalam

Alhamdulillah. Terima kasih kepada Dr. Ibn Ayyub diatas pertanyaan tersebut dan Insyaallah kami akan cuba menjawabnya dengan kadar kemampuan yang ada.

Do'a selepas Azan hukumnya sunat. Diantara dalilnya ialah hadith yang diriwayatkan oleh Jaabir bin Abdullah bahawa Nabi saw bersabda :

من قال حين يسمع النداء اللهم رب هذه الدعوة التامة والصلاة القائمة آت محمدا الوسيلة والفضيلة وابعثه مقاما محمودا الذي وعدته حلت له شفاعتي يوم القيامة " . رواه البخاري ( 589 ) .

"Barangsiapa yang berkata tatkala mendengar panggilan solat (Al-Nidaa') :'‘Allaahumma Rabba haadhihi’l-da’wat il-taammah wa’l-salaat il-qaa’imah, aati Muhammadan il waseelata wa’l-fadeelah, wab’athhu maqaaman mahmoodan illadhi wa’adtah' bahawa syafaatku akan dibenarkan ketasnya pada hari Kiamat" - Riwayat Bukhari (589).

Menurut Dr Mustafa Bugho, apa sahaja yang disunatkan didalam azan, adalah disunatkan didalam Iqaamah[1]. Dengan kata lain, disunatkan berdo'a selepas Iqaamah.

Bagi ulama'-ulama' salaf pula, do'a yang dibaca didalam Hadith diatas, hanya di syariatkan selepas azan sahaja dan bukan selepas iqamaah. Abu Daud pernah bertanya kepada Imam Ahmad :"Apakah yang diperkatakan oleh orang yang bersolat sebelum takbir", jawabnya "Tiada"[2]. Ibnu Qayyim didalam Zaad Al-Ma'ad (1/201) berkata :"Nabi saw tatkala mendirikan solat, baginda berkata :Allahu Akbar, dan tidak berkata apa-apa sebelumnya"[2]. Pendapat ini juga didokong oleh bekas Mufti Saudi, Sheikh Abdul Aziz bin Baaz dengan katanya :"Perkataan yang selepas Iqaamah dan sebelum Takbir Al-Ihram ialah mengingatkan ma'mum meluruskan Saf"[3].

Sheikh Muhammad Salih Al-Munajjid didalam ruangan Islam-qa mengatakan[4]:

وأما الدعاء بعد الإقامة فلا نعلم له دليلاً ، وإن خصص الدعاء بشيء من غير دليل صحيح كان بدعة .

"Mengenai do'a selepas iqaamah, Tidaklah kita tahu akan dalil mengenainya. Jika ada do'a-do'a tentu yang diadakan tanpa sebarang dalil yang kukuh, ia merupakan bid'ah."

Didalam fatwa no: 2801, keluaran Al-Lajnah al-Daa’imah (6/90) menyebut [5]:

ثم يصلي على النبي صلى الله عليه وسلم بعد قول المقيم (لا إله إلا الله) ويقول : اللهم رب هذه الدعوة التامة والصلاة القائمة .....الخ كما يقول بعد الأذان، ولا نعلم دليلا يصح يدل على استحباب ذكر شيء من الأدعية بين انتهاء الإقامة وقبل تكبيرة الإحرام سوى ما ذكر.

"Kemudian berselawat keaatas Nabi selepas menyebut 'Tiada Tuhan melainkan Allah' dan berkata :"Allaahumma Rabba haadhihi’l-da’wat il-taammah..... dan berkata sebegini sebagaimana yang diucapkan selepas Azan, Tidak kami mengetahui akan Dalil yang sahih yang menunjukkan mustahabnya mengucap sesuatu do'a diantara tamat Iqaamah dan sebelum Takbir Al-Ihram melainkan apa yang telah dinyatakan."

Wallahu 'alam

-wassalam-
-----------------
Rujukan :

1. . Dr Mustafa Bugho [etc]. Fiqh Al-Manhaji : 'ala mazhab Al-Imam Al-Syafie - I. Cetakan ke 4. Damsyik : Dar Al-Qalam, 2000. ms. 121.

2. Muhammad Sideq Al-Minshawi. Ikhaa'u Al-Mushalliin. Kaherah, Dar Al-Fadhilah, 1996. ms. 60-61.

3. Sheikh Ahmad bin Abdul Aziz bin Baaz. Majmu' fataawa samaahah Al-Shikeh Abdul Aziz bin Baaz - 4. Riyad : Dar Al-Watan, 2000. ms 179.

4. Sheikh Muhammad Salih Al-Munajjid. Islam-QA : Do'a Azan dan Iqaamah. url : http://63.175.194.25/index.php?cs=prn&ln=ara&QR=5666&dgn=3&dgn=2

5. Al-Lajnah al-Daa’imah li’l-Buhooth al-‘Ilmiyyah wa’l-Ifta’ - 6. Cetakan ke 3. Riyad : Dar Al-Mu'id, 2000. ms 90.

1 comments:

Sa Zali said...

Asalamualaikum. Selepas membaca doa selepas azan, Ikamat. Apakah kita diam dan terus niat solat dan bertakbir? Jazakumullhu khairan

Post a Comment