07 March 2009

Berdoa dan Berzikir Ketika Azan

Assalamualaikum, Ustaz ustaz Al-Ahkam,
Ana ada beberapa persoalan yang memuskilkan diri ana ini …. Harap panduan dan tunjuk ajar kalian semua akan lebih memantapkan lagi penyerahan ana kepadaNYA.

Soalannya:-

1. Ana solat sendirian di masjid (waktu solat hampir dipenghujung) … ketika berzikir/berdoa (selepas selesai solat) azan pun berkumandang menandakan masuknya waktu sembanyang berikutnya. Apakah ana harus lakukan …. meneruskan zikir/doa ana atau berhenti dan menyambungnya semula apabila selesai azan? Setahu ana … kita tidak digalakkan berkata kata/bersembang ketika azan.

2. Dalam solat berjemaah …. Ketika mengerakkan jari di tahiyat awal dan akhir, apakah kita harus menunggu imam bertakbir untuk bangun kerakaat seterusnya (ditahiyat awal) atau imam memberi salam pertama selesai solat …. Barulah kita berhenti menggerakkan jari?

Atau selesai sahaja membaca tahiyat awal/akhir maka kita dibolehkan berhenti menggerakkan jari tanpa perlu menunggu bacaan imam seterusnya?

Terima kasih.

*******************
kamin
Panel Feqh
Wa'alaikumussalam.

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan sdr kendil_bolong dengan kadar kemampuan yang ada, dan semoga natijahnya akan memantapkan lagi penyerahan kita kepada Allah swt, Insyaallah.

a. Berzikir atau berkata-kata semasa azan berkumandang

(1) Benar sdr kendil_bolong, adalah disunatkan kita berhenti membaca Al-Quran atau berzikir ketika Azan dikumandangkan. Berkata Imam Nawawi didalam Majmu' Al-Fatawa (22/72)[1] :

((فإذا سمعه (أى الأذان) وهو في قراء القرآن أو ذكر أو درس علم أو نحو ذلك قطعه وتابع المؤذن))

"Maka jika mendengar ia akan Azan, dan semasa itu ia sedang membaca Al-Quran, atau berzikir, atau kuliah ilmu atau yang lain-lain perbuatan, maka putuskan ia (berhenti melakukannya) dan muazzin meneruskan (azan)."

Kita disunnatkan menjawab balik perkataan muazzin dan melakukan selawat keatas Nabi (sebagaimana do'a selepas azan). Setelah selesai Azan (contohnya Azan Maghrib), maka bolehlah kita meneruskan membaca zikir yang berbaki tadi.

(2) Mengenai bersembang hal dunia dimasjid, Al-Hakim meriwayatkan didalam al-Mustadrak (4/359)bahawa Anas bin Malik berkata :

{{قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : يأتي على الناس زمان يتحلقون في مساجدهم وليس همتهم إلا الدنيا ، ليس لله فيهم حاجة فلا تجالسوهم }}

"Nabi saw bersabda :'Akan tiba keatas manusia satu zaman/masa apabila orang duduk dimasjid dan apa yang penting kepada mereka hanyalah dunia, Tidaklah Allah berhajat apa-apa dari mereka maka JANGANlah duduk bersama mereka!"

Maka eloklah kita menghindarkan diri kita dari bersembang atau bercakap-cakap mengenai perkara-perkara duniawi didalam masjid, Insyaallah.

b. Pergerakan jari dimasa tashahhud.

Adalah menjadi sunnah mengerakkan jari telunjuk ketika tashahhud sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ahmad (18890) dan Al-Nassa'i dari Waa’il ibn Hajar bagai beliau melihat Nabi saw :

{{ثم رفع إصبعه فرأيته يحركها يدعو بها }}

"Kemudian menaikkan jari telunjuk dan Aku melihat beliau mengerakkannya dan melakukan do'a dengannya" - Hadith dikelaskan sebagai Sahih oleh Al-Albani didalam Sahih Al-Nassai'.

Sheikh Nasyiruddin Al-Albani didalam Talkhees Sifat Solaat al-Nabi saw (Ringkasan Sifat Solat Nabi) menjelaskan bahawa adalah sunnah mengerakkan jari ketika berdo'a dari awal Tashahhud hinggalah keakhirnya.

((ويحركها يدعو بها من أول التشهد إلى آخره.))

"Mengerakkan ia, berdoa dari awal hingga akhir Tashahhud"

Bagi memudahkan untuk mengikuti perbuatan ini, kami ringkaskan kaedah yang telah dinyatakan oleh Ibnu Utsaimin didalam buku al-Sharh al-Mumti’[3]. Individu haruslah : Pada setiap kali berdo'a hendaklah menggerakan jari telunjuknya keatas sebegai contoh:

"Al-salaamu ‘alaika ayyuha’l-Nabiyyu"

(السلام عليك أيها النبي)– anda harus menunjukkan jari ketika membaca ini kerana 'salam' adalah sebahagian dari do'a.

"Al-salaamu ‘alaina" (السلام علينا)– tunjukkan jari anda.

"Allaahumma salli ‘ala Muhammad" (اللهم صل على محمد)– tunjukan jari anda.

"Allaahumma baarik ‘ala Muhammad" (اللهم بارك على محمد)– tunjukkan jari anda.

"A’uuzhu Billaaih min ‘adhaaib Jahannam" (أعوذ بالله من عذاب جهنم)– tunjukkan jari anda.
(ertinya: Aku memohon perlindungan Allah dari Azab Neraka)

"Wa min ‘azhaab il-qabr" (ومن عذاب القبر)– tunjukkan jari anda.
(ertinya: dan dari azab kubur)

"Wa min fitnat il-mahyaa wa’l-mamaat" (ومن فتنة المحيا والممات)– tunjukkan jari anda.
(ertinya: dan dari fitnah hidup dan mati)

"Wa min fitnat il-masiih il-dajjaal" (ومن فتنة المسيح الدجال)– tunjukkan jari anda.
(ertinya: dan dari Fitnah Dajjaal)

Maka setiap kali anda melakukan do'a, naikkan jari anda. Kaedah ini lebih hampir kepada sunnah.

wallahu 'alam

-wassalam-

Rujukan:

1. Muhammad Sideq Al-Minshawi. Akhthaa'u Al-Mushollin. Kaherah : Dar Al-Fadhiilah, 1996.ms. 52

2. Sheikh Muhammad ibn Utsaimin. al-Sharh al-Mumti’ - 3. Riyad : Muasasah Al-Risalah, 2002, ms 202.

0 comments:

Post a Comment